Tuesday 24 June 2014

Epilog

Sebelum ini pernah juga beberapa kali terlintas di fikiranku untuk berblogging tetapi hajat tersebut tidak kesampaian akibat kemalasan dan kurangnya keyakinan diri dalam membuat blog. Aku akui bahawa aku agak lemah dalam hal-hal yang memerlukan kreativiti dan sebab itu jugalah hajatuntuk berblogging ini terkubur.Tetapi, sem ini hendak ataupun tidak, aku perlu juga membuat blog kerana ini adalah sebahagian daripada tugasan untuk subjek yang aku ambil semester ini. Banyak kali aku buntu untuk memikir dan mengarang kisah yang ingin aku kongsikan di sini. Selain itu, aku berasa janggal pada permulaanya kerana aku tidak biasa memperihalkan apa yang berlaku di dalam kehidupan seharianku secara umum.

Tetapi, semua itu perlu ku ketepikan sementara dan fokus ku hanya lah satu iaitu untuk menghabiskan seberapa banyak jumlah post yang telah ditetapkan oleh pensyarahku. Penulisanku adalah ikhlas dari hati ku dan aku akan hanya menulis perkara-perkara yang aku suka dan mahu aku ceritakan sahaja. Oleh sebab itu, aku mengambil masa yang agak lama untuk menyiapkan tugasan ini. Aku cemburu juga melihat rakan-rakan sekelas yang lain, mereka dengan begitu cepat sekali telah melepasi had minimum yang ditetapkan oleh pensyarah. Aku masih terkedek-kedek mencari idea untuk dimasukkan ke dalam blog ini.

Di kesempatan ini, aku ingin mengucapkan terima kasih atas tunjuk ajar yang telah diberikan oleh pensyarah ku selama ini dan mohon maaf atas segala kekasaran, kesilapan cakap-cakap belakang, kutuk-kutuk belakangdan apa-apa sahaja perkara yang telah membuatkan pensyarah ku tersinggung samada secara sedar ataupun tidak. Blog ini tidak akan mati di sini sahaja, aku akan menjadikan blog ini sebagai diari untuk aku merekodkan pengalaman dan kisah-kisah penggembaraan ku.


Kucing dan aku

Kucing adalah haiwan peliharaan yang paling aku gemari. Ketika aku kecil, aku tidak begitu menyukai kucing malahan aku berasa takut untuk memegang kucing kerana aku risau akan digigit atau dicakar oleh kucing tersebut. Tetapi, perasaan takut itu berubah apabila aku mula meningkat dewasa. Kucing bukanlah haiwan yang patut digeruni, mereka adalah haiwan yang begitu jinak dan manja. Sepanjang aku hidup, telah banyak kucing yang datang dan pergi dalam kehidupanku. Ingin aku kongsikan di sini beberapa gambar kucing- kucing yang pernah hadir dalam hidup aku.















Memori

Pejam celik pejam celik sudah hampir 10 bulan aku di sini dan hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi sebelum semester ini melabuhkan tirainya. Kebanyakkan daripada kawan-kawanku akan bercuti selama 2 bulan sebelum memasuki semester baru pada bulan September yang akan datang. Tetapi tidak bagiku kerana aku mempunyai semester pendek yang mesti ku tempohi. Apapun sebelum tirai sem ini dilabuhkan, ingin aku kongsikan beberapa momen yang berlaku sepanjang perjalananku selama 10 bulan di sini.

Minggu orientasi pelajar baru atau lebih dikenali sebagai Minggu Mesra Pelajar (MMP) ini adalah permulaan kepada kehidupan aku bergelar pelajar UKM dan penghuni kolej kediaman Kolej Dato' Onn. Kami dipisahkan ke dalam beberapa kumpulan kecil dan aku masih ingat lagi nama kumpulanku iaitu Thunder Onn. Pada ketika itu juga lah, pertama kali aku diberi kesempatan untuk mencuba nasib menjadi pengerusi majlis.


Gambar yang ini pula ketika perbarisan Hari Malaysia yang berlangsung pada 16 September 2013 di Dataran Gemilang. Kami praktis hampir setiap malam beberapa hari berlangsungnya acara ini dan hampir kesemua penghuni tahun pertama kolej kediaman Dato' Onn menyertai perbarisan ini.

Gambar ini pula ketika aku menyertai misi bantuan banjir di Kuala Krau Pahang. Penghuni-penghuni di kampung ini merupakan keluarga angkat bagi kolej ku kerana pada sesi sebelumnya mereka pernah membuat kerja-kerja amal di sini. Pada ketika itu juga Pahang dilanda banjir yang teruk, walaupun kampung ini tidak dilanda banjir teruk tetapi bekalan makanan, minuman dan pergerakan turut terjejas akibat daripada banjir itu. Jadi, pertolongan kami ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka. Selesai menyerahkan bekalan-bekalan barangan keperluan dan pakaian, kami diserahkan kepada keluarga angkat untuk seharian sebelum pulang semula ke Bangi pada sebelah malam.

Ini pula adalah ketika aku dan kawan-kawanku dalam perjalanan ke Dewan Canselor Tunku Abdul Razak (DECTAR) untuk menghadiri acara pelancaran buku Naib Canselor UKM pada ketika itu iaitu Prof Tan Sri Dato’ Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin. Buku yang bertajuk Sharifah Hapsah- Inspiring Futures dilancarkan oleh Canselor UKM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. Pada tengahari itu, kami disajikan lauk pauk yang enak dan kami pulang dengan perasaan yang gembira akibat kekenyangan daripada menjamah makanan dan minuman yang percuma.

Sekali lagi dku diberi peluang untuk mengacarakan majlis dan ini adalah pada hari keluarga kolej kediaman ku. Berdebar juga kerana sebelum majlis bermula kami kerap ditegur kerana felo tidak nampak keserasian di antara aku dan teman ku. Tetapi, Alhamdulillah kami berjaya mengharungi malam tersebut dan felo juga memuji keserasian antara kami dalam mengacarakan majlis ini. Selesai upacara perasmian, majlis malam itu diteruskan dengan forum perdana yang bertajuk "SUAMIKU ISTERI ORANG'. Pelik sungguh tajuknya bukan?


Menjadi pengacara majlis itu hanyalah tugas sampingan ku kerana aku memikul tanggungjawab yang lebih besar daripada itu dalam pengendalian Karnival Hari Keluarga ini. Aku memegang jawatan sebagai Pengarah Pemasaran dan aku mempunyai 5 anak buah dibawah jagaan ku. Mula-mula komunikasi antara kami tidak begitu baik tetapi masing-masing faham akan peranan dan tugas dan mereka berjaya melakukan sebaik mungkin. Sekretariat pemasaran juga telah berjaya mendapatkan sebanyak RM10 ribu bagi menanggung kos karnival ini.

Gambar terakhir ini pula adalah ketika majlis makan malam anjuran kolej kediaman ku. Mereka ini lah antara penggerak utama majlis untuk malam tersebut. Mereka merupakan teman-temanku daripda Unit Protokol, KDO dan kami berjaya merangkul anugerah Kelab/Unit Terbaik malam tersebut. Ini merupakan satu penghargaan kepada teman-temanku yang telah bertungkus lumus bekerja dan menguruskan acara-acara formal di kolej ini. Tahniah kawan-kawan, u guys deserve this!!. Semoga unit kita ini akan lebih maju pada sesi akan datang.

Sekian, itu sahaja yang sempat untuk aku kongsikan bersama. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk membaca post aku yang panjang ini. Sebelum aku mengundurkan diri, dengar dan hayati lah bait-bait lirik dalam lagu memori dendangan Sheila Majid ini.





Monday 23 June 2014

Masih Di Sini

Pada ketika aku menulis ini masa berdetik menghampiri jam 4 petang. Aku berada di dalam bilik ku, keseorangan kerana roomate ku telah pulang ke kampung halaman beliau pada hari jumaat yang lepas. Cuaca pada waktu ini begitu baik sekali, sang suria bersinar begitu cantik sekali dan langit pula kelihatan begitu cerah dan luas. Sengaja aku buka tingkap-tingkap di bilik ini dan ketepikan langsir supaya bilik aku disinari dengan cahaya matahari dan tiupan angin yang sayup-sayup sahaja. Aku dapat menyaksikan dedaun kering berpisah daripada rantingnya dan perlahan-lahan jatuh menyembah bumi tatkala ditiup angin.

Aku telah selesai menjawab peperiksaan ku pada jam 6.30 petang 19 Jun yang lepas. Paper terakhir ku itu adalah subjek prinsip perakaunan. Kebanyakkan daripada kawan-kawanku telah pulang ke kampung halaman masing-masing.Hanya segelintir sahaja yang masih belum selesai menjawab peperiksaan. Sepatutnya aku sudah boleh pulang ke rumah ku jua tetapi aku memilih untuk terus menetap beberapa hari lagi sebelum aku menghabiskan sisa-sisa cuti yang berbaki satu minggu di rumahku nanti. Masih ada dua laporan dan dua tugasan yang perlu aku siapkan sebelum Khamis ini.

Cuti semester kali ini tidak panjang seperti sem lepas. Sem ini aku cuma cuti selama 2 minggu sahaja kerana pada 6 Julai nanti aku akan kembali semula untuk semester pendek. Sepertimana sem-sem sebelumnya, aku berharap agar sem ketiga ku nanti akan lebih baik daripada sem satu dan sem kedua ku. Jika cuti sebelumnya aku manfaatkan dengan bekerja sambilan dan bercuti, cuti kali ini aku mempunyai misi yang perlu aku selesaikan.Tidak perlu untuk aku ceritakan apa misi ku itu di sini. Harapan aku untuk cuti kali ini adalah aku berjaya menyelesaikan misi tersebut.

Aku hanya cuma mempunyai beberapa hari sahaja lagi untuk berada di sini, di bilikku ini kerana untuk sem yang akan datang aku terpaksa berpindah bilik. Walaupun bilik aku gelap dan muram pada kebanyakkan masa, tetapi aku berasa selesa di sini. Sekian, terima kasih kerana sudi membaca post aku.




Friday 13 June 2014

KEMBALI SEMULA

Hampir sebulan aku telah meninggalkan blog ini tanpa sebarang entry. Beberapa kali aku cuba untuk berkongsi cerita, kisah, pandangan dan luahan tetapi semuanya tidak kesampaian atas faktor malas yang semakin membara dalam diri aku ini sambil disokong dengan kebuntuan idea dan kata-kata. Kini, aku kembali semula ke sini dan mencuba untuk menghabiskan entry ini.

Kehidupan seharianku biasa sahaja, tiada apa-apa yang menarik berlaku. Aku hanyalah seorang manusia yang diberi kesempatan untuk melanjutkan pengajianku di salah sebuah menara gading yang dikagumi masyarakat di luar sana. Kata orang, bukan calang-calang orang dapat melanjutkan pengajian di sini jadi aku bertuah kerana berjaya menjejakkan kaki di sini. Ya aku berasa sangat bertuah dan bersyukur kerana masih lagi diberi peluang untuk belajar tetapi aku belum lagi dapat merasa sedikit kebanggaan menuntut ilmu di menara gading ini.

Segalanya berbeza di sini berbanding dengan tempat pengajianku yang lama. Aku kerap membandingkan pengalaman yang aku rasai di tempat pengajianku yang dulu dengan kehidupan ku di sini sehinggakan beberapa kali terlintas di fikiran aku untuk berhenti sahaja daripada menara gading ini dan kembali semula ke kehidupan ku sebelum ini.Tetapi aku tidak mahu menjadi seorang yang tidak bersyukur atas peluang ini. Aku anggap ini sebagai satu rezeki bagi aku dan tidak patut untuk aku sia-siakannya begitu sahaja. Jadi, walaubagaimanapun dan apa pun yang akan terjadi, aku akan cuba sedaya upaya aku untuk menghabiskan jua apa yang telah aku mulakan dan moga aku dapat menggenggam segulung ijazah daripada menara gading ini.

Aku mempunyai dua minggu sahaja lagi sebelum aku tamat semester kedua ku di sini dan semoga segalanya akan berjalan lancar. Itu sahaja yang boleh aku kongsikan buat masa ini dan aku mohon pada kalian untuk doakan kejayaan bagiku dan ribuan terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk membaca blog aku ini.

Sekian, terima kasih.

Saturday 17 May 2014

Sendirian di Pulau Langkawi

17 September 2012, itu lah pertama kali aku memulakan langkahku untuk keluar daripada kota Kuala Lumpur yang sibuk dan bingit ini secara bersendirian untuk mencari ketenangan dan penggembaraan percutian di Pulau Langkawi.  Aku tidak merancang untuk pergi bersendirian akan tetapi pada saat akhir kawan-kawanku terpaksa menarik diri daripada mengikuti penggembaraan ini. Walaupun bergerak tanpa teman, bagi ku ini bukanlah satu masalah kerana aku sudah biasa bergerak sendirian akan tetapi tidak aku nafikan bahawa aku berasa gemetar dan was-was untuk meneruskan perjalanan ini. Akhirnya setelah puas memikirkannya, aku nekad jua untuk teruskan pengembaraan ini.


Pada jam 9 malam, aku bertolak daripada stesen KL Sentral ke stesen Arau, Perlis dengan menaiki keretapi Senandung Langkawi KTM. Tiket keretapi ini telah aku beli sehari sebelumnya dan aku memilih koc yang mempunyai katil supaya aku dapat merehatkan badan dan mengumpul tenaga untuk keesokan hari. Perjalanan daripada KL Sentral ini mengambil masa lebih kurang 10 hingga 12 jam. Setelah sampai di stesen Arau, Perlis, aku gegas mendapatkan teksi untuk membawaku ke jeti Kuala Perlis yang terletak sekitar 10 hingga 15 minit perjalanan sahaja daripada stesen keretapi tersebut.Sampai sahaja di jeti tersebut, aku terus ke kaunter tiket bagi membeli tiket untuk menaiki feri yang seterusnya.







Sampai sahaja di jeti Pulau Langkawi, aku terus ke kaunter khidmat pelanggan Tourism Malaysia yang terletak di pintu masuk utama jeti tersebut untuk mendapatkan maklumat tetapi hampa kerana kaunter tersebut tutup pada ketika itu. Sebenarnya, aku ke sini tanpa membuat apa-apa tempahan, tiada arah tuju yang jelas, hanya berbekalkan sedikit maklumat yang aku dapati daripada alam maya dan keinginan yang membara untuk menaiki kereta kabel dan membeli coklat. Untuk tidak membuang masa, aku mula menuju ke kaunter teksi berhampiran untuk mendapatkan teksi untuk ke Pantai Chenang.




Aku diperkenalkan dengan pakcik Ismail yang akan membawaku ke destinasi ku iaitu Pantai Chenang. Teksi-teksi di sini tidak menggunakan meter seperti di KL tetapi tambangnya telah ditetapkan oleh pihak berkuasa supaya tidak berlaku penipuan atau cubaan untuk meletakkan harga yang mahal kepada pelancong. Aku berasa bertuah dan bersyukur kerana dipertemukan dengan pakcik ini kerana beliau tidak lokek untuk berkongsi dan mencadangkan kepadaku motel serta aktiviti yang boleh aku lakukan sepanjang penginapan ku di sini. Setelah sampai di Pantai Chenang, pakcik Ismail membawa ku ke Amzar Motel. Kadar penginapan di sini sangat murah kerana dengan hanya RM35 sahaja untuk satu malam, aku dapat satu bilik yang lengkap dengan katil, kipas angin, bilik air serta tandas, almari pakaian dan juga televisyen.




Sekitar jam 2 petang setelah selesai check in dan membersihkan diri, aku menelefon pakcik Ismail untuk mengambil ku kerana aku ingin menaiki kereta kabel yang terletak di Gunung Mat Chincang. Perjalanan daripada Pantai Chenang ke Gunung Mat Chincang mengambil masa selama 15 minit ke 30 minit dan tambangnya pula adalah sekitar RM20 ke RM25 sehala. Sepanjang perjalanan menuju ke kereta kabel ini, aku dikelilingi dengan kawasan perkampungan, sawah padi, dan hutan yang menghijau. Setelah sampai di kereta kabel, pakcik Ismail sempat berpesan kepadaku untuk mengambil seberapa banyak masa yang aku mahu di situ dan aku boleh menelefon dia sekiranya aku ingin pulang ke motel.

Pemandangan di dalam kereta kabel sungguh cantik sekali terutama apabila kereta kabel itu semakin menghampiri puncak tertinggi. Daripada kereta kabel, aku dapat melihat air terjun telaga tujuh dan keindahan laut yang membiru dan bersinar-sinar dek sinaran cahaya matahari serta kehijauan hutan dan tumbuhan-tumbuhan yang begitu menenangkan. Udara di puncak kereta kabel ini cukup nyaman dan sejuk, keadaan cuaca di puncak ketika itu dalam keadaan berkabus jadi aku tidak dapat melihat dengan jelas tetapi menurut pakcik Ismail jika keadaan cuaca baik, kita boleh melihat jauh sehingga kepulauan Sumatera, Indonesia dan suasana ketika matahari terbenam juga cantik. Oleh kerana cuaca tidak begitu baik, aku tidak berada lama di situ dan selepas beberapa ketika aku turun ke bawah semula dan berjalan-jalan sebentar sebelum pulang semula ke Pantai Chenang. Setibanya di motel, aku segera menukar pakaian ku dan menghabiskan waktu petangku dengan berjalan di persisiran pantai sambil mencuci mata melihat gelagat warga tempatan dan asing bermandi-manda dan bermain. Pada sebelah malam pula, keluar untuk makan malam dan bersiar-siar menikmati suasana malam di kawasan sekitar.






Hari Kedua, aku mulakan hariku dengan bersarapan di kedai mamak sebelum menyewa basikal untuk satu hari. Berpandukan GPS yang terdapat pada telefon bimbitku, aku mula mengayuh dan mejelajah dari satu tempat ke tempat yang lain. Apabila kepenatan mengayuh, aku berhenti seketika dan mengambil gambar-gambar pemandangan yang menghijau untuk dijadikan kenang-kenangan dan tatapan masa hadapan. Sekitar jam 12 tengahari, aku pulang semula ke motel untuk bersiap sedia sebelum mengikuti trip Island Hopping pada jam 1 petang. Trip Island Hopping berharga RM25 seorang dan tour guide akan bawa ke 3 tempat iaitu Eagle Feeding Spot, Pulau Dayang Bunting dan Pulau Beras Basah. Ini juga merupakan pengalaman pertama aku menaiki bot laju dan mengikuti trip Island Hopping, tidak banyak yang aku lakukan sepanjang Island Hopping trip ini, kebanyakkannya masanya aku habiskan dengan melihat dan mengagumi keindahan alam. Jam 5 petang, trip ini berakhir dan aku habiskan petang ku sama seperti hari sebelumnya. Pada sebelah malamnya pula, aku bercadang untuk menaiki basikal untuk ke pekan Kuah kerana malam itu ada pasar malam tetapi oleh kerana keadaan jalan berliku dan gelap, aku memutuskan untuk tidak meneruskan cadangan tersebut bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Sebaliknya, aku kembali ke bilik dan melihat filem Hindustan Laila Majnun di televisyen.












Hari Ketiga pula tidak banyakk aktiviti yang aku lakukan. Aku hanya bersiar sebentar di persisiran pantai dan kemudiannya pulangkan basikal yang telah aku sewa semalam. Kemudian aku kembali semula ke bilik untuk berkemas pulang. Sekitar jam 11 pagi aku check out dan pakcik Ismail datang mengambilku di motel tersebut. Aku meminta pakcik Ismail untuk singgah sebentar di mana-mana supaya aku dapat membeli gamat dan coklat untuk dibawa pulang. Setelah selesai shopping, pakcik Ismail segera membawaku ke jeti kerana aku perlu menaiki feri jam 12.30 tengahari supaya aku dapat tiba di jeti Kuala Perlis jam 1.30 petang untuk menaiki bas yang akan bertolak pada jam 2 petang. Perjalanan pulang daripada Kuala Perlis ke KL menaiki bas ekspress mengambil masa selama lebih kurang 8 jam.







Sekian, tamatlah sudah penggembaraan aku sepanjang 3 hari 2 malam menghabiskan masa bersendirian meggembara ke Pulau Langkawi. Aku pasti akan kembali lagi ke pulau ini pada masa hadapan.

Terima kasih kerana sudi membaca.