Sunday 30 March 2014

move on

Senang ditutur tetapi sukar untuk dilaksanakan. Itu lah pandangan aku terhadap tajuk post pada minggu ini iaitu MOVE ON.

"Hidup mesti diteruskan, jangan dikenang benda yang lepas" adalah antara ayat-ayat klise yang seringkali dilontarkan tatkala menyakinkan diri untuk move on and keep going forward. Bukan mudah untuk melupakan sesuatu perkara, terutamanya perkara-perkara yang begitu peribadi dan dekat dengan diri kita.

Manusia bukan seperti mesin. Dengan semudah menekan butang reset, mesin akan kembali kepada keadaan asal. Jika manusia mampu berbuat sedemikian, pastinya hidup akan lebih mudah dan tiada lah perkara-perkara yang tidak menggembirakan kita akan berlaku. Tetapi, kehidupan tidak semudah itu dan sesukar mana pun kita rasa, life must goes on. Selagi kita bernafas selagi itu lah kita kena move on dan bergerak kehadapan. Jadikan perkara yang sudah berlalu itu sebagai satu semangat untuk kita bergerak dengan lebih baik di masa hadapan.

As i said previously, it was easy to say than to do...
But with a great willpower, you will be able to do it!!

P/s: if you can't move on your own, get someone to push you from behind so instead of moving backwards, you are moving forward.









Sunday 23 March 2014

Rajuk

Aissssshhhhhhh......

Itu lah reaksi pertama apabila aku mendengar tema bagi post kali ketiga ini. Dalam banyak-banyak tema yang ada, mengapa mesti rajuk juga yang menjadi pilihan pensyarah ku ini. Apa-apa pun tugasan telah diberi jadi aku perlu menerimanya samada aku suka ataupun tidak.

Bagi aku, perbuatan merajuk ini merupakan salah satu lumrah kehidupan manusia untuk menunjukkan ketidakpuasan terhadap sesuatu. Perbuatan ini lebih terserlah dalam kalangan kanak-kanak, dan kebiasaanya kita boleh mengetahui seseorang itu merajuk melalui mimik muka dan gerak tubuhnya. Antara kebiasaan yang sering dilakukan apabila merajuk adalah berpeluk tubuh, menjauhkan diri, tiada 'eye contact' dengan orang lain, memuncungkan mulut dan macam-macam lagi. Namun begitu, bukan kanak-kanak sahaja yang pandai merajuk tetapi orang dewasa juga.


Melayan rajuk kanak-kanak adalah lebih mudah daripada melayani rajuk orang dewasa. Mengapa aku katakan begitu?, kerana kanak-kanak lebih mudah untuk dipujuk berbanding orang dewasa. Lebih rumit apabila yang merajuk itu adalah tergolong daripada kaum hawa, parah jadinya jika tidak kena pada gaya memujuk.

Monday 17 March 2014

HILANG

Assalammualaikum dan selamat sejahtera kepada semua. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk membaca dan melawati blog aku yang masih serba kekurangan buat masa ini. Pada minggu lepas, aku ditugaskan oleh pensyarah ku untuk membuat blog post berdasarkan tema yang telah beliau tetapkan iaitu KEHILANGAN.

Kehilangan bukan lah sesuatu yang asing dalam menjalani kehidupan sebagai manusia, bahkan ia begitu sinonim dengan kita. Setiap daripada kita pasti pernah merasai atau mengalami detik kehilangan dalam hidup. Antara kehilangan yang sering kita alami tanpa kita sedari adalah kehilangan dari segi masa. Ia berlalu begitu pantas dan kehilangannya adalah kekal kerana kita tidak mampu untuk mengembalikan semula setiap saat yang telah berlalu.

"JIKA AKU MAMPU ULANGI SEMULA MASA YANG TELAH BERLALU, PASTI AKU AKAN MELAKUKAN SESUATU DENGAN LEBIH BAIK"

Seringkali, kata-kata ini diungkapkan oleh kita semua secara sedar ataupun tidak walaupun dalam olahan yang tersendiri tetapi  tetap dengan maksud yang serupa. Secara khususnya, aku sering ungkapkan kata-kata ini terutamanya apabila aku kesuntukan masa untuk mengerjakan sesuatu tugasan atau perkara. Walaupun kerap mengungkapkannya tetapi impak kekesalan atas kehilangan itu amat kecil kesannya dalam diriku. Rasa kesal itu hanya menebal saat aku kesuntukan masa dan semakin menipis saat aku siap mengerjakannya.





Saturday 8 March 2014

Tentang Encik Fahdil dan UKM

Begitu sukar bagi aku untuk memulakan post pertama ini kerana aku tidak gemar untuk menceritakan perihal peribadi ku di alam maya. Oleh yang sedemikian, aku memutuskan untuk berkongsi pengalaman sepanjang minggu pertamaku berada di UKM.

Pada tanggal 1 September 2013, aku melangkah masuk ke kampus utama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, Selangor sebagai seorang pelajar jurusan ekonomi. Aku sangat bersyukur kerana masih diberi peluang untuk melanjutkan pengajian walaupun universiti ini bukanlah pilihan pertama ku. Pada hari pendaftaran pelajar baru, aku ditemani dua kawan karib yang sudi meluangkan masa mereka untuk menghantar ku (terima kasih banyak-banyak).



Aku ditempatkan di kolej kediaman Dato' Onn bersama beberapa pelajar tahun satu yang lain. Untuk pengetahuan anda, Kolej Dato' Onn (KDO) ini merupakan kolej yang pertama ditubuhkan di kampus UKM, Bangi dan merupakan antara kolej yang terkecil dari segi jumlah penduduknya. Seperti IPTA yang lain, minggu orientasi atau lebih dikenali sebagai Minggu Mesra Pelajar (MMP) di sini merupakan kebiasaan setiap tahun untuk menyambut kedatangan para pelajar baru. Sepanjang MMP ini, hari ku bermula seawal jam 5 pagi dan berakhir sekitar jam 12 tengah malam dek kerana mengikuti berbagai aktiviti dan ceramah wajib yang dirancang khusus oleh para pemudah cara (PC).

Pada malam terakhir MMP aku diberi peluang untuk menjadi pengacara majlis penutupan MMP. Majlis penutupan adalah untuk meraikan kedatangan pelajar baru ke KDO dan setiap pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan diminta untuk membuat persembahan mengikut tema yang telah ditetapkan. Mulanya, aku berasa gementar dan tidak yakin kerana ini merupakan pengalaman pertamaku untuk mengacarakan sesuatu majlis. Bukan mudah untuk mengacarakan majlis ini kerana terlalu banyak perkara yang berlaku sepanjang berlangsungnya majlis. Sebagai pengacara majlis, aku perlu fokus dan sentiasa berwaspada dengan segala perubahan yang berlaku dan menyesuaikan diri dengan cepat dan sentiasa bersikap tenang. Alhamdulillah, walaupun keadaan pada malam itu agak kelam kabut, aku berjaya melaksanakan tugas ku sebaik mungkin berkat dari sokongan dan dorongan kawan-kawan yang lain.

Itu sahaja yang dapat aku kongsikan untuk post yang pertama ini dan aku berharap untuk post seterusnya, penulisan dan penceritaan ku lebih baik dan menarik untuk dibaca oleh anda.

Sekian,
Terima kasih kerana sudi meluangkan masa anda.

ENCIK FAHDIL