Tuesday 24 June 2014

Memori

Pejam celik pejam celik sudah hampir 10 bulan aku di sini dan hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi sebelum semester ini melabuhkan tirainya. Kebanyakkan daripada kawan-kawanku akan bercuti selama 2 bulan sebelum memasuki semester baru pada bulan September yang akan datang. Tetapi tidak bagiku kerana aku mempunyai semester pendek yang mesti ku tempohi. Apapun sebelum tirai sem ini dilabuhkan, ingin aku kongsikan beberapa momen yang berlaku sepanjang perjalananku selama 10 bulan di sini.

Minggu orientasi pelajar baru atau lebih dikenali sebagai Minggu Mesra Pelajar (MMP) ini adalah permulaan kepada kehidupan aku bergelar pelajar UKM dan penghuni kolej kediaman Kolej Dato' Onn. Kami dipisahkan ke dalam beberapa kumpulan kecil dan aku masih ingat lagi nama kumpulanku iaitu Thunder Onn. Pada ketika itu juga lah, pertama kali aku diberi kesempatan untuk mencuba nasib menjadi pengerusi majlis.


Gambar yang ini pula ketika perbarisan Hari Malaysia yang berlangsung pada 16 September 2013 di Dataran Gemilang. Kami praktis hampir setiap malam beberapa hari berlangsungnya acara ini dan hampir kesemua penghuni tahun pertama kolej kediaman Dato' Onn menyertai perbarisan ini.

Gambar ini pula ketika aku menyertai misi bantuan banjir di Kuala Krau Pahang. Penghuni-penghuni di kampung ini merupakan keluarga angkat bagi kolej ku kerana pada sesi sebelumnya mereka pernah membuat kerja-kerja amal di sini. Pada ketika itu juga Pahang dilanda banjir yang teruk, walaupun kampung ini tidak dilanda banjir teruk tetapi bekalan makanan, minuman dan pergerakan turut terjejas akibat daripada banjir itu. Jadi, pertolongan kami ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka. Selesai menyerahkan bekalan-bekalan barangan keperluan dan pakaian, kami diserahkan kepada keluarga angkat untuk seharian sebelum pulang semula ke Bangi pada sebelah malam.

Ini pula adalah ketika aku dan kawan-kawanku dalam perjalanan ke Dewan Canselor Tunku Abdul Razak (DECTAR) untuk menghadiri acara pelancaran buku Naib Canselor UKM pada ketika itu iaitu Prof Tan Sri Dato’ Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin. Buku yang bertajuk Sharifah Hapsah- Inspiring Futures dilancarkan oleh Canselor UKM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. Pada tengahari itu, kami disajikan lauk pauk yang enak dan kami pulang dengan perasaan yang gembira akibat kekenyangan daripada menjamah makanan dan minuman yang percuma.

Sekali lagi dku diberi peluang untuk mengacarakan majlis dan ini adalah pada hari keluarga kolej kediaman ku. Berdebar juga kerana sebelum majlis bermula kami kerap ditegur kerana felo tidak nampak keserasian di antara aku dan teman ku. Tetapi, Alhamdulillah kami berjaya mengharungi malam tersebut dan felo juga memuji keserasian antara kami dalam mengacarakan majlis ini. Selesai upacara perasmian, majlis malam itu diteruskan dengan forum perdana yang bertajuk "SUAMIKU ISTERI ORANG'. Pelik sungguh tajuknya bukan?


Menjadi pengacara majlis itu hanyalah tugas sampingan ku kerana aku memikul tanggungjawab yang lebih besar daripada itu dalam pengendalian Karnival Hari Keluarga ini. Aku memegang jawatan sebagai Pengarah Pemasaran dan aku mempunyai 5 anak buah dibawah jagaan ku. Mula-mula komunikasi antara kami tidak begitu baik tetapi masing-masing faham akan peranan dan tugas dan mereka berjaya melakukan sebaik mungkin. Sekretariat pemasaran juga telah berjaya mendapatkan sebanyak RM10 ribu bagi menanggung kos karnival ini.

Gambar terakhir ini pula adalah ketika majlis makan malam anjuran kolej kediaman ku. Mereka ini lah antara penggerak utama majlis untuk malam tersebut. Mereka merupakan teman-temanku daripda Unit Protokol, KDO dan kami berjaya merangkul anugerah Kelab/Unit Terbaik malam tersebut. Ini merupakan satu penghargaan kepada teman-temanku yang telah bertungkus lumus bekerja dan menguruskan acara-acara formal di kolej ini. Tahniah kawan-kawan, u guys deserve this!!. Semoga unit kita ini akan lebih maju pada sesi akan datang.

Sekian, itu sahaja yang sempat untuk aku kongsikan bersama. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk membaca post aku yang panjang ini. Sebelum aku mengundurkan diri, dengar dan hayati lah bait-bait lirik dalam lagu memori dendangan Sheila Majid ini.





No comments:

Post a Comment