Showing posts with label UKM. Show all posts
Showing posts with label UKM. Show all posts

Sunday, 27 April 2014

WAYANG SANTAI

credit: team KAMISUKAREKA KDO


Kali ini aku akan berkongsi cerita pengalamanku mengendalikan aktiviti Wayang Santai di Kolej Dato' Onn, UKM pada semester lepas bagi menjana pendapatan untuk menjalankan program Hari Ketrampilan Mahasiswa (HAKERA) bagi sesi 2013/2014. Untuk pengetahuan pembaca, program HAKERA ini merupakan program tahunan anjuran kolej kediamanku dan pada sesi kali ini aku telah diamanahkan untuk memegang jawatan sebagai pengarah sekretariat pemasaran dan mempunyai ajk sebanyak 1 lelaki dan 4 perempuan. Tujuan utamanya hanyalah satu iaitu untuk mendapatkan seberapa banyak dalam masa 1 semester dana bagi menampung perbelanjaan menguruskan program ini yang akan berlangsung pada semester kedua.





Wayang Santai ini adalah sesi penayangan filem-filem menarik yang diadakan pada setiap Jumaat malam bagi menjana sumber pendapatan. Idea asal untuk mengadakan aktiviti ini tercetus daripada cadangan para MT program dan kemudiannya diberi penambahbaikan dari segi pelaksanaan oleh pihak kami sendiri. Fungsi utama Wayang Santai ini sebenarnya adalah untuk menarik perhatian penghuni-penghuni KDO khususnya untuk menghilangkan rasa stress dengan menonton wayang bersama kawan-kawan dengan bajet serendah RM1 sahaja.

Sebagaimana pawagam di luar sana yang mempunyai segmen jualan makanan dan minuman ringan, kami juga turut menawarkannya melalui Jualan Santai. Antara menu-menu yang terdapat di Jualan Santai adalah minuman berkarbonat (ala-ala McFizz), popcorn, roti hotdog, dadih dan pastinya menu terlaris kami iaitu kek batik. Setiap menu ini dihasilkan sendiri oleh pihak kami sendiri. Ini adalah kali pertama kami berniaga dan kami sentiasa mencuba untuk menghasilkan dengan lebih baik dari minggu ke minggu supaya pelanggan-pelanggan kami berpuas hati terhadap mutu dan kualiti perkhidmatan serta produk-produk kami.




Sesi Wayang Santai dan Jualan ini hanya bertahan selama 6 sesi sahaja kerana selepas sesi ke-6 itu adalah minggu study week sebelum berlangsungnya peperiksaan hujung semester. Keuntungan bersih yang kami peroleh selepas menolak segala perbelanjaan bagi keenam-enam sesi ini adalah sebanyak RM300++. Walaupun amaunnya sedikit jika  dibandingkan jumlah kos perbelanjaan program HAKERA tetapi aku tetap berbangga dengan pencapaian ajk ku kerana mereka telah banyak membantu dan menahan karenah ku.

Kini, tiada lagi Wayang Santai di KDO tetapi aku berharap aktiviti ini akan diteruskan semula di masa hadapan.

Sekian.


Saturday, 8 March 2014

Tentang Encik Fahdil dan UKM

Begitu sukar bagi aku untuk memulakan post pertama ini kerana aku tidak gemar untuk menceritakan perihal peribadi ku di alam maya. Oleh yang sedemikian, aku memutuskan untuk berkongsi pengalaman sepanjang minggu pertamaku berada di UKM.

Pada tanggal 1 September 2013, aku melangkah masuk ke kampus utama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, Selangor sebagai seorang pelajar jurusan ekonomi. Aku sangat bersyukur kerana masih diberi peluang untuk melanjutkan pengajian walaupun universiti ini bukanlah pilihan pertama ku. Pada hari pendaftaran pelajar baru, aku ditemani dua kawan karib yang sudi meluangkan masa mereka untuk menghantar ku (terima kasih banyak-banyak).



Aku ditempatkan di kolej kediaman Dato' Onn bersama beberapa pelajar tahun satu yang lain. Untuk pengetahuan anda, Kolej Dato' Onn (KDO) ini merupakan kolej yang pertama ditubuhkan di kampus UKM, Bangi dan merupakan antara kolej yang terkecil dari segi jumlah penduduknya. Seperti IPTA yang lain, minggu orientasi atau lebih dikenali sebagai Minggu Mesra Pelajar (MMP) di sini merupakan kebiasaan setiap tahun untuk menyambut kedatangan para pelajar baru. Sepanjang MMP ini, hari ku bermula seawal jam 5 pagi dan berakhir sekitar jam 12 tengah malam dek kerana mengikuti berbagai aktiviti dan ceramah wajib yang dirancang khusus oleh para pemudah cara (PC).

Pada malam terakhir MMP aku diberi peluang untuk menjadi pengacara majlis penutupan MMP. Majlis penutupan adalah untuk meraikan kedatangan pelajar baru ke KDO dan setiap pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan diminta untuk membuat persembahan mengikut tema yang telah ditetapkan. Mulanya, aku berasa gementar dan tidak yakin kerana ini merupakan pengalaman pertamaku untuk mengacarakan sesuatu majlis. Bukan mudah untuk mengacarakan majlis ini kerana terlalu banyak perkara yang berlaku sepanjang berlangsungnya majlis. Sebagai pengacara majlis, aku perlu fokus dan sentiasa berwaspada dengan segala perubahan yang berlaku dan menyesuaikan diri dengan cepat dan sentiasa bersikap tenang. Alhamdulillah, walaupun keadaan pada malam itu agak kelam kabut, aku berjaya melaksanakan tugas ku sebaik mungkin berkat dari sokongan dan dorongan kawan-kawan yang lain.

Itu sahaja yang dapat aku kongsikan untuk post yang pertama ini dan aku berharap untuk post seterusnya, penulisan dan penceritaan ku lebih baik dan menarik untuk dibaca oleh anda.

Sekian,
Terima kasih kerana sudi meluangkan masa anda.

ENCIK FAHDIL