Friday 13 June 2014

KEMBALI SEMULA

Hampir sebulan aku telah meninggalkan blog ini tanpa sebarang entry. Beberapa kali aku cuba untuk berkongsi cerita, kisah, pandangan dan luahan tetapi semuanya tidak kesampaian atas faktor malas yang semakin membara dalam diri aku ini sambil disokong dengan kebuntuan idea dan kata-kata. Kini, aku kembali semula ke sini dan mencuba untuk menghabiskan entry ini.

Kehidupan seharianku biasa sahaja, tiada apa-apa yang menarik berlaku. Aku hanyalah seorang manusia yang diberi kesempatan untuk melanjutkan pengajianku di salah sebuah menara gading yang dikagumi masyarakat di luar sana. Kata orang, bukan calang-calang orang dapat melanjutkan pengajian di sini jadi aku bertuah kerana berjaya menjejakkan kaki di sini. Ya aku berasa sangat bertuah dan bersyukur kerana masih lagi diberi peluang untuk belajar tetapi aku belum lagi dapat merasa sedikit kebanggaan menuntut ilmu di menara gading ini.

Segalanya berbeza di sini berbanding dengan tempat pengajianku yang lama. Aku kerap membandingkan pengalaman yang aku rasai di tempat pengajianku yang dulu dengan kehidupan ku di sini sehinggakan beberapa kali terlintas di fikiran aku untuk berhenti sahaja daripada menara gading ini dan kembali semula ke kehidupan ku sebelum ini.Tetapi aku tidak mahu menjadi seorang yang tidak bersyukur atas peluang ini. Aku anggap ini sebagai satu rezeki bagi aku dan tidak patut untuk aku sia-siakannya begitu sahaja. Jadi, walaubagaimanapun dan apa pun yang akan terjadi, aku akan cuba sedaya upaya aku untuk menghabiskan jua apa yang telah aku mulakan dan moga aku dapat menggenggam segulung ijazah daripada menara gading ini.

Aku mempunyai dua minggu sahaja lagi sebelum aku tamat semester kedua ku di sini dan semoga segalanya akan berjalan lancar. Itu sahaja yang boleh aku kongsikan buat masa ini dan aku mohon pada kalian untuk doakan kejayaan bagiku dan ribuan terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk membaca blog aku ini.

Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment