Showing posts with label Tema. Show all posts
Showing posts with label Tema. Show all posts

Saturday, 17 May 2014

Sendirian di Pulau Langkawi

17 September 2012, itu lah pertama kali aku memulakan langkahku untuk keluar daripada kota Kuala Lumpur yang sibuk dan bingit ini secara bersendirian untuk mencari ketenangan dan penggembaraan percutian di Pulau Langkawi.  Aku tidak merancang untuk pergi bersendirian akan tetapi pada saat akhir kawan-kawanku terpaksa menarik diri daripada mengikuti penggembaraan ini. Walaupun bergerak tanpa teman, bagi ku ini bukanlah satu masalah kerana aku sudah biasa bergerak sendirian akan tetapi tidak aku nafikan bahawa aku berasa gemetar dan was-was untuk meneruskan perjalanan ini. Akhirnya setelah puas memikirkannya, aku nekad jua untuk teruskan pengembaraan ini.


Pada jam 9 malam, aku bertolak daripada stesen KL Sentral ke stesen Arau, Perlis dengan menaiki keretapi Senandung Langkawi KTM. Tiket keretapi ini telah aku beli sehari sebelumnya dan aku memilih koc yang mempunyai katil supaya aku dapat merehatkan badan dan mengumpul tenaga untuk keesokan hari. Perjalanan daripada KL Sentral ini mengambil masa lebih kurang 10 hingga 12 jam. Setelah sampai di stesen Arau, Perlis, aku gegas mendapatkan teksi untuk membawaku ke jeti Kuala Perlis yang terletak sekitar 10 hingga 15 minit perjalanan sahaja daripada stesen keretapi tersebut.Sampai sahaja di jeti tersebut, aku terus ke kaunter tiket bagi membeli tiket untuk menaiki feri yang seterusnya.







Sampai sahaja di jeti Pulau Langkawi, aku terus ke kaunter khidmat pelanggan Tourism Malaysia yang terletak di pintu masuk utama jeti tersebut untuk mendapatkan maklumat tetapi hampa kerana kaunter tersebut tutup pada ketika itu. Sebenarnya, aku ke sini tanpa membuat apa-apa tempahan, tiada arah tuju yang jelas, hanya berbekalkan sedikit maklumat yang aku dapati daripada alam maya dan keinginan yang membara untuk menaiki kereta kabel dan membeli coklat. Untuk tidak membuang masa, aku mula menuju ke kaunter teksi berhampiran untuk mendapatkan teksi untuk ke Pantai Chenang.




Aku diperkenalkan dengan pakcik Ismail yang akan membawaku ke destinasi ku iaitu Pantai Chenang. Teksi-teksi di sini tidak menggunakan meter seperti di KL tetapi tambangnya telah ditetapkan oleh pihak berkuasa supaya tidak berlaku penipuan atau cubaan untuk meletakkan harga yang mahal kepada pelancong. Aku berasa bertuah dan bersyukur kerana dipertemukan dengan pakcik ini kerana beliau tidak lokek untuk berkongsi dan mencadangkan kepadaku motel serta aktiviti yang boleh aku lakukan sepanjang penginapan ku di sini. Setelah sampai di Pantai Chenang, pakcik Ismail membawa ku ke Amzar Motel. Kadar penginapan di sini sangat murah kerana dengan hanya RM35 sahaja untuk satu malam, aku dapat satu bilik yang lengkap dengan katil, kipas angin, bilik air serta tandas, almari pakaian dan juga televisyen.




Sekitar jam 2 petang setelah selesai check in dan membersihkan diri, aku menelefon pakcik Ismail untuk mengambil ku kerana aku ingin menaiki kereta kabel yang terletak di Gunung Mat Chincang. Perjalanan daripada Pantai Chenang ke Gunung Mat Chincang mengambil masa selama 15 minit ke 30 minit dan tambangnya pula adalah sekitar RM20 ke RM25 sehala. Sepanjang perjalanan menuju ke kereta kabel ini, aku dikelilingi dengan kawasan perkampungan, sawah padi, dan hutan yang menghijau. Setelah sampai di kereta kabel, pakcik Ismail sempat berpesan kepadaku untuk mengambil seberapa banyak masa yang aku mahu di situ dan aku boleh menelefon dia sekiranya aku ingin pulang ke motel.

Pemandangan di dalam kereta kabel sungguh cantik sekali terutama apabila kereta kabel itu semakin menghampiri puncak tertinggi. Daripada kereta kabel, aku dapat melihat air terjun telaga tujuh dan keindahan laut yang membiru dan bersinar-sinar dek sinaran cahaya matahari serta kehijauan hutan dan tumbuhan-tumbuhan yang begitu menenangkan. Udara di puncak kereta kabel ini cukup nyaman dan sejuk, keadaan cuaca di puncak ketika itu dalam keadaan berkabus jadi aku tidak dapat melihat dengan jelas tetapi menurut pakcik Ismail jika keadaan cuaca baik, kita boleh melihat jauh sehingga kepulauan Sumatera, Indonesia dan suasana ketika matahari terbenam juga cantik. Oleh kerana cuaca tidak begitu baik, aku tidak berada lama di situ dan selepas beberapa ketika aku turun ke bawah semula dan berjalan-jalan sebentar sebelum pulang semula ke Pantai Chenang. Setibanya di motel, aku segera menukar pakaian ku dan menghabiskan waktu petangku dengan berjalan di persisiran pantai sambil mencuci mata melihat gelagat warga tempatan dan asing bermandi-manda dan bermain. Pada sebelah malam pula, keluar untuk makan malam dan bersiar-siar menikmati suasana malam di kawasan sekitar.






Hari Kedua, aku mulakan hariku dengan bersarapan di kedai mamak sebelum menyewa basikal untuk satu hari. Berpandukan GPS yang terdapat pada telefon bimbitku, aku mula mengayuh dan mejelajah dari satu tempat ke tempat yang lain. Apabila kepenatan mengayuh, aku berhenti seketika dan mengambil gambar-gambar pemandangan yang menghijau untuk dijadikan kenang-kenangan dan tatapan masa hadapan. Sekitar jam 12 tengahari, aku pulang semula ke motel untuk bersiap sedia sebelum mengikuti trip Island Hopping pada jam 1 petang. Trip Island Hopping berharga RM25 seorang dan tour guide akan bawa ke 3 tempat iaitu Eagle Feeding Spot, Pulau Dayang Bunting dan Pulau Beras Basah. Ini juga merupakan pengalaman pertama aku menaiki bot laju dan mengikuti trip Island Hopping, tidak banyak yang aku lakukan sepanjang Island Hopping trip ini, kebanyakkannya masanya aku habiskan dengan melihat dan mengagumi keindahan alam. Jam 5 petang, trip ini berakhir dan aku habiskan petang ku sama seperti hari sebelumnya. Pada sebelah malamnya pula, aku bercadang untuk menaiki basikal untuk ke pekan Kuah kerana malam itu ada pasar malam tetapi oleh kerana keadaan jalan berliku dan gelap, aku memutuskan untuk tidak meneruskan cadangan tersebut bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Sebaliknya, aku kembali ke bilik dan melihat filem Hindustan Laila Majnun di televisyen.












Hari Ketiga pula tidak banyakk aktiviti yang aku lakukan. Aku hanya bersiar sebentar di persisiran pantai dan kemudiannya pulangkan basikal yang telah aku sewa semalam. Kemudian aku kembali semula ke bilik untuk berkemas pulang. Sekitar jam 11 pagi aku check out dan pakcik Ismail datang mengambilku di motel tersebut. Aku meminta pakcik Ismail untuk singgah sebentar di mana-mana supaya aku dapat membeli gamat dan coklat untuk dibawa pulang. Setelah selesai shopping, pakcik Ismail segera membawaku ke jeti kerana aku perlu menaiki feri jam 12.30 tengahari supaya aku dapat tiba di jeti Kuala Perlis jam 1.30 petang untuk menaiki bas yang akan bertolak pada jam 2 petang. Perjalanan pulang daripada Kuala Perlis ke KL menaiki bas ekspress mengambil masa selama lebih kurang 8 jam.







Sekian, tamatlah sudah penggembaraan aku sepanjang 3 hari 2 malam menghabiskan masa bersendirian meggembara ke Pulau Langkawi. Aku pasti akan kembali lagi ke pulau ini pada masa hadapan.

Terima kasih kerana sudi membaca.


Tuesday, 13 May 2014

SENYUM

Smile, though your heart is aching
Smile, even though it's breaking
When there are clouds in the sky
You'll get by...

If you smile
With your fear and sorrow
Smile and maybe tomorrow
You'll find that life is still worthwhile
If you just...

Light up your face with gladness
Hide every trace of sadness
Although a tear may be ever so near
That's the time you must keep on trying
Smile, what's the use of crying
You'll find that life is still worthwhile
If you just...

Smile, though your heart is aching
Smile, even though it's breaking
When there are clouds in the sky
You'll get by...

If you smile
Through your fear and sorrow
Smile and maybe tomorrow
You'll find that life is still worthwhile
If you just smile...

That's the time you must keep on trying
Smile, what's the use of crying
You'll find that life is still worthwhile
If you just smile 



Lirik di atas ini aku ambil daripada sebuah lagu yang didendang semula oleh Michael Jackson (MJ). Pada asalnya, lagu ini tidak mempunyai lirik dan digunakan sebagai tema runut bunyi bagi untuk filem Modern Times lakonan Charlie Chaplin pada tahun 1936. Pada tahun 1954 pula, lirik ditambah dan lagu ini dinyanyikan oleh penyanyi asal lagu ini iaitu Nat King Cole. Kemudiannya pada tahun 1995 MJ telah merakamkan semula lagu ini untuk dimuatkan ke dalam albumnya tetapi ditarik keluar pada saat akhir.
Info ini aku dapati melalui wikipedia.

Secara personal aku lebih menyukai versi MJ kerana suara MJ yang aku rasakan amat sesuai dengan lagu ini dan susunan bunyinya yang lebih beremosi berbanding versi asal. Untuk makluman anda, lagu ini merupakan lagu kegemaran MJ dan lagu ini didendangkan oleh abangnya di majlis kematiannya. Nampaknya lagu ini begitu bermakna bagi MJ dan mungkin sebab itu dia mampu mempersembahkannya dengan begitu baik dan versinya seakan mempunyai jiwa yang tersendiri.

Bait kata-kata dalam lirik ini meminta kita untuk senyum, senyum walaupun hati kita sedang berada dalam kesakitan atau kepayahan. Sembunyikan kesedihan melalui senyuman dan tiada gunanya untuk kita tangisi kesedihan itu. Mendalam juga maksud lirik ini kerana kebiasaanya kalau bersedih pastinya kita akan menangis tetapi lirik ini meminta kita untuk senyum pula. Lirik lagu ini amat bermakna dan penulis liriknya seakan-akan sedang menenangkan seseorang daripada kesedihan dan memberikannya dorongan untuk terus senyum walaupun sedang dilanda kesedihan. 

Aku tidak terkejut jika setiap dari kita pernah melakukannya dan ia bukanlah suatu perkara yang mudah untuk dilakukan tetapi apabila kita berjaya untuk melakukannya, kita akan berasa lebih kuat untuk menangani kesedihan itu. Walaupun kedengaran seperti tidak munasabah tetapi hanya dengan satu senyuman sahaja, kita berupaya menyembunyikan sejuta kesedihan dan ini lah magik yang mampu kita lakukan.

Sunday, 11 May 2014

HEIDI



Malam ini, aku baru sahaja selesai membaca satu novel bahasa Inggeris yang bertajuk Heidi yang dikarang oleh Johanna Spyri. Aku membeli novel ini kerana ingin mempraktikkan bahasa inggerisku dan atas kebosanan yang melampau, aku telah berjaya menghabiskannya dalam masa 2 hari sahaja. Walaupun novel ini adalah novel klasik tetapi olahan kata-kata yang digunakan dalam novel ini tidak begitu sukar dan mudah untuk difahami.

Novel ini berkisahkan kehidupan Heidi, seorang anak yatim piatu yang kematian ayah dan ibu sejak dari kecil lagi. Heidi kemudiannya dijaga oleh mak cik nya iaitu Deta tetapi apabila Heidi mencecah umur 8 tahun, Deta telah membawa Heidi ke Dörfli iaitu sebuah perkampungan yang terletak berhampiran di pergunungan Alps di Switzerland untuk diserahkan kepada datuknya. Datuk Heidi tinggal di bahagian atas dan agak terpencil daripada perkampungan tersebut.Datuk Heidi seringkali dilabel sebagai orang tua yang gila dan pemarah oleh masyrakat di kampung tersebut dan dia digeruni ramai. Deta terpaksa menyerahkan Heidi untuk dijaga kepada datuknya kerana beliau tidak dapat menjaga Heidi kerana ingin bekerja di Frankfurt, German dan bimbang tiada siapa yang boleh menjaganya apabila dia keluar bekerja.

Pada permulaan, datuk Heidi berasa marah terhadap Deta kerana secara tiba-tiba sahaja meninggalkan Heidi untuk dijaganya dan memberitahu Deta untuk membawanya pulang bersama dia. Deta berkeras juga untuk meninggalkan Heidi di situ kerana datuk tersebut sahaja lah satu-satunya ahli keluarga terdekat yang masih hidup. Dengan itu, bermulalah kehidupan Heidi bersama-sama datuknya di pegunungan tersebut. Datuk Heidi mempunyai beberapa ekor kambing dan mengupah seorang budak lelaki bernama Peter untuk menggembala kambing-kambing kepunyaannya itu. Peter merupakan satu-satunya kawan kepada Heidi dan Heidi pula sering mengikut Peter keluar untuk menggembala kambing-kambing itu ke kawasan yang lebih tinggi untuk diberikan makan. Semakin lama, Heidi mula berasa selesa dan seronok tinggal di kawasan pergunungan tersebut. Suasana di pergunungan itu amat cantik kerana dilatari oleh pergunungan Alps yang bersalji dan Heidi amat kagum dengan kecantikan kawasan persekitaran apabila tiba waktu matahari terbenam. Datuknya juga berasa begitu juga dan mereka tinggal bersama dengan gembira dan bahagia.

Tetapi setelah beberapa ketika berlalu, Deta kembali ke perkampungan tersebut untuk membawa Heidi pulang bersamanya kerana beliau mendapat khabar berita bahawa seorang anak yang kaya di Frankfurt, German memerlukan seorang teman untuk belajar kerana beliau tidak sihat dan mempunyai guru peribadi yang sering datang ke rumah untuk mengajar. Deta lihat ini sebagai satu peluang supaya Heidi dapat turut serta belajar dan akan menjamin keselesaan hidup Heidi. Adakah Heidi akan mengikut makciknya Deta ke Frankfurt?, apakah yang akan dilakukan oleh datuk Heidi?, bagaimana pula perasaan Peter?. Untuk tahu lebih lanjut, anda boleh lah ke kedai buku yang terdekat bagi mendapatkan buku ini. Anda tidak akan berasa rugi untuk membaca novel ini. Hope you will enjoy it as much as i am.

Sebelum aku akhiri post kali ini. Aku nak quote satu ayat yang dilontarkan oleh nenek Peter.

"The most beautiful thing of all, though, is to be able to shake hands again with an old friend."

KEK BATIK

Kek batik ini merupakan hidangan yang senang untuk dibuat kerana bahan-bahannya mudah untuk didapati dan pembuatannya tidak rumit. Aku suka makan kek batik kerana keranggupan biskut yang diselaputi oleh milo dan susu. Oleh itu, kali ini aku akan berkongsi pengalaman pertama aku membuat kek batik ini. Resepi yang aku gunakan untuk membuat kek ini, aku dapati daripada blog cikepal06.blogspot.com. Aku memilih untuk menggunakan resepi beliau kerana bahan-bahan yang digunakan tidak banyak serta proses pembuatannya mudah dan ringkas.



Jom kita mulakan!!!!

Bahan-bahan yang diperlukan adalah seperti berikut:
1 paket milo (400g)
1 paket biskut marie (dipatahkan kepada 4 bahagian)
1 ketul mentega 250g
1/2 tin susu pekat manis
1 sudu besar esen vanila

 Bahan-bahan pun sudah tersedia, jadi kita boleh mula memasak.

- Panaskan kuali dan masukkan mentega terlebih dahulu dan kacau sehingga cair. (gunakan api kecil sahaja)
-Kemudian, masukkan pula milo dan susu pekat. Kacau sehingga sebati (pastikan anda sentiasa kacau sehingga betul-betul sebati kerana jika tidak ia akan berketul)
- Selepas bahan-bahan tadi telah sebati, masukkan pula biskut marie. Kacau biskut-biskut itu sehingga setiap bahagian diselaputi dengan coklat.
-Pindahkan ke dalam loyang atau bekas dan setelah itu anda perlu menekan kek tersebut untuk mampatkan kek supaya tidak mempunyai ruang udara dan setiap bahagian sama rata.
- Rehatkan kek tersebut selama 4 jam di dalam peti ais untuk mengeraskan coklat tersebut.
- Setelah 4 jam anda boleh keluarkan kek itu dan MAKAN!!!!

Begitu mudah kan untuk membuat kek batik ini?. Tidak perlu untuk menggunakan oven dan bahan-bahannya juga ringkas sahaja. Walaupun ringkas tetapi rasanya begitu sedap sekali dan resepi ini boleh diubah suai mengikut kesesuaian selera anda.

Percubaan pertama: coklat ok tetapi biskut terlebih tetapi rasanya masih okay.
Percubaan kedua : aku kurangkan biskut tetapi milo pula terlebih jadi kek batik aku menjadi kenyal dan agak susah untuk dikunyah.









Tuesday, 6 May 2014

International Islamic College

International Islamic College atau lebih dikenali sebagai IIC ini merupakan tempat di mana aku melanjutkan pelajaran selepas tamat zaman persekolahan. Aku masih ingat lagi tarikh aku mendaftar di kolej ini iaitu pada tanggal 9 Disember. Kolej ini terletak tidak jauh daripada rumah ku dan ketika hari pendaftaran aku datang bersendirian dan tidak ditemani oleh sesiapa. Aku berasakan diriku begitu bodoh jika hendak dibandingkan dengan kawan-kawanku yang lain. Kawan-kawan yang sering aku belajar bersama ketika zaman persekolahan mendapat anugerah pelajar cemerlang dan berjaya melanjutkan pelajaran di IPTA manakala aku cuma dapat melanjutkan pelajaran di IPTS sahaja. 

Aku mendaftarkan diri untuk mengikuti program Diploma Perakaunan kerana minatku terhadap subjek prinsip perakaunan semasa zaman persekolahan dan disebabkan ingin mendalami ilmu perakaunan dengan lebih mendalam. DIA072031 merupakan no matrik ku di kolej ini dan seingatku cuma ada 16 orang pelajar sahaja yang mendaftar untuk program Diploma Perakaunan ini bagi sesi kemasukan 9 Disember ini. 

Oleh kerana jumlah pelajar bagi sesi ini tidak ramai, kami saling mengenali antara satu sama yang lain dan banyak menghabiskan masa bersama sepanjang tempoh pengajian di sini. Kebanyakkan daripada kawan-kawanku ini menetap di asrama yang disediakan oleh kolej yang terletak agak jauh daripada kolej kami ini manakala aku pula memilih untuk berulang alik daripada rumah sahaja. Mula-mula, aku berulang alik dengan menaiki bus RapidKL tetapi apabila lama - kelamaan aku mula biasa berjalan kaki mengharungi lebuhraya dibelakang rumahku untuk ke kolej ini.

IIC ini tidak besar dan gah seperti kolej-kolej atau IPTA yang lain. Kolej ini hanya mempunyai 2 blok bangunan dan disambung dengan 1 blok pentadbiran dan hanya mempunyai 3 tingkat sahaja. Aku banyak habiskan masa di kafetaria dan perpustakaan sementara menunggu untuk ke kelas yang seterusnya. Kadang-kadang apabila sudah bosan melepak di perpustakaan, aku dan kawan-kawanku akan berlegar-legar mencari bilik kuliah yang kosong untuk lepak sementara menunggu kelas untuk bermula.

Di IIC, aku mula berasa seronok untuk belajar dan tidak tekanan untuk belajar. Pensyarah-pensyarah aku tidak terdiri daripada mereka yang berkelayakan PHD dan mempunyai gelaran Dr atau Prof seperti pensyarah-pensyarah di IPTA. Pensyarah ku hanya berkelayakan fresh graduates Degree daripada IPTA sahaja tetapi mereka begitu bersungguh dalam memberikan ilmu dan mengajar kami. Hubungan antara kami dan pensyarah begitu rapat dan aku anggap mereka seperti kakak, abang dan emak kami. Ilmu yang disampaikan juga mudah untuk diserap dan difahami. Kami mengenali setiap pensyarah dan pensyarah juga mengenali setiap pelajarnya. 

Alhamdulillah, di sini aku dikelilingi oleh kawan-kawan yang tidak lokek untuk berkongsi ilmu dan saling membantu antara satu sama yang lain. Jika ada perkara yang tidak mereka fahami, aku akan cuba untuk terangkan dan sebaliknya jika aku tidak memahami sesuatu, mereka pula yang akan menjelaskannya kepada ku. Aku suka cara belajar yang sebegini, kerana melalui study group sebegini aku dapat menambah pengetahuan yang aku tidak akan dapat sekiranya belajar sendirian. Rakan study group aku ini tidaklah skema dan hanya membincangkan perihal akademik sahaja tetapi kami juga sering bergosip, berborak dan seringkali membahan satu sama yang lain juga.

2 tahun 6 bulan berlalu dengan pantas dan tiba masanya untuk kami berpisah. Kini, aku di UKM dan persekitaran di sini sangat berbeza dengan zaman diploma ku.UKM, puluhan kali ganda lebih besar daripada IIC. Pensyarah-pensyarahnya terdiri daripada ahli-ahli akademik yang berkelulusan tinggi seperti Master dan PHD. Namanya gah dan dipandang tinggi oleh masyarakat. Kebanyakkan pelajarnya pula terdiri daripada mereka yang berkelulusan daripada matrikulasi. Mula-mula aku berasa bangga kerana akhirnya aku berjaya menjejakkan kaki di "MENARA GADING" tetapi kini aku tidak lagi berasa begitu.

p/s: tiada guna pandai jika tidak pandai berkongsi ilmu.


Sunday, 27 April 2014

WAYANG SANTAI

credit: team KAMISUKAREKA KDO


Kali ini aku akan berkongsi cerita pengalamanku mengendalikan aktiviti Wayang Santai di Kolej Dato' Onn, UKM pada semester lepas bagi menjana pendapatan untuk menjalankan program Hari Ketrampilan Mahasiswa (HAKERA) bagi sesi 2013/2014. Untuk pengetahuan pembaca, program HAKERA ini merupakan program tahunan anjuran kolej kediamanku dan pada sesi kali ini aku telah diamanahkan untuk memegang jawatan sebagai pengarah sekretariat pemasaran dan mempunyai ajk sebanyak 1 lelaki dan 4 perempuan. Tujuan utamanya hanyalah satu iaitu untuk mendapatkan seberapa banyak dalam masa 1 semester dana bagi menampung perbelanjaan menguruskan program ini yang akan berlangsung pada semester kedua.





Wayang Santai ini adalah sesi penayangan filem-filem menarik yang diadakan pada setiap Jumaat malam bagi menjana sumber pendapatan. Idea asal untuk mengadakan aktiviti ini tercetus daripada cadangan para MT program dan kemudiannya diberi penambahbaikan dari segi pelaksanaan oleh pihak kami sendiri. Fungsi utama Wayang Santai ini sebenarnya adalah untuk menarik perhatian penghuni-penghuni KDO khususnya untuk menghilangkan rasa stress dengan menonton wayang bersama kawan-kawan dengan bajet serendah RM1 sahaja.

Sebagaimana pawagam di luar sana yang mempunyai segmen jualan makanan dan minuman ringan, kami juga turut menawarkannya melalui Jualan Santai. Antara menu-menu yang terdapat di Jualan Santai adalah minuman berkarbonat (ala-ala McFizz), popcorn, roti hotdog, dadih dan pastinya menu terlaris kami iaitu kek batik. Setiap menu ini dihasilkan sendiri oleh pihak kami sendiri. Ini adalah kali pertama kami berniaga dan kami sentiasa mencuba untuk menghasilkan dengan lebih baik dari minggu ke minggu supaya pelanggan-pelanggan kami berpuas hati terhadap mutu dan kualiti perkhidmatan serta produk-produk kami.




Sesi Wayang Santai dan Jualan ini hanya bertahan selama 6 sesi sahaja kerana selepas sesi ke-6 itu adalah minggu study week sebelum berlangsungnya peperiksaan hujung semester. Keuntungan bersih yang kami peroleh selepas menolak segala perbelanjaan bagi keenam-enam sesi ini adalah sebanyak RM300++. Walaupun amaunnya sedikit jika  dibandingkan jumlah kos perbelanjaan program HAKERA tetapi aku tetap berbangga dengan pencapaian ajk ku kerana mereka telah banyak membantu dan menahan karenah ku.

Kini, tiada lagi Wayang Santai di KDO tetapi aku berharap aktiviti ini akan diteruskan semula di masa hadapan.

Sekian.


Monday, 21 April 2014

KAMERA

Untuk post kali ini aku memilih untuk bercerita mengenai kamera. Untuk pengetahuan semua, terdapat beberapa jenis kamera seperti kamera video, digital, polaroid, kamera web dan fungsi utamanya adalah untuk mengambil gambar. Kini, penggunaan kamera begitu sinonim dengan kehidupan seharian kita, hampir setiap telefon bimbit keluaran terbaru di pasaran kini mempunyai kamera dan kualitinya setanding dengan kamera-kamera yang lain.

Kamera merupakan antara benda yang mesti aku bawa tatkala aku ingin bercuti atau keluar bersama kawan-kawan kerana keupayaannya untuk menangkap momen untuk dijadikan sebagai kenangan di masa hadapan. Setiap kali aku kebosanan atau stress, aku akan lihat semula foto dan video yang ada di dalam simpananku dan aku akan berasa seperti aku berada di dalam gambar tersebut merasai kembali momen yang telah berlalu itu.

Kamera pertama dan satu-satunya kamera yang pernah aku miliki adalah kamera biasa yang menggunakan filem. Kamera ini adalah pemberian daripada ibuku ketika aku berusia 12 tahun dan harganya jika aku tidak silap ketika itu adalah sekitar RM 100 - RM300 sahaja. Seingat ku, satu filem dapat mengambil 24 keping gambar dan  hampir setiap kali kehabisan filem sahaja, aku akan meminta ibuku untuk membelikan filem yang baru supaya aku dapat terus bermain dengan kamera itu. Aku begitu teruja dan apa sahaja yang berada di hadapanku akan ku rakamkan. Akan tetapi, kini aku tidak lagi menggunakan kamera tersebut dan aku sendiri tidak ingat bilakah kali terakhir aku menggunakannya.

Penggunaan kamera pada masa kini lebih kepada kamera digital dan tidak ramai yang menggunakan kamera filem lagi. Kamera digital adalah lebih baik daripada kamera filem kerana kita dapat melihat hasilnya dengan pantas dan jimat kos kerana kita tidak perlu mencuci gambar tersebut.

GoPro Hero 3

Kamera di atas ini merupakan kamera yang paling aku inginkan. Walaupun rupanya agak pelik tetapi keupayaannya sangat luar biasa kerana berkemampuan untuk merakamkan gambar di darat, udara, mahupun lautan dalam. Kamera ini juga tahan lasak dan tidak mudah rosak. Oleh itu, kamera ini menjadi kegemaran dan sering digunakan oleh scuba diver, sky diver, surfer, dan mereka yang melalukan aktiviti lasak.

Kamera ini kini berada dalam senarai teratas wishlist ku dan aku akan pastikan aku akan bekerja keras bagi mendapatkannya sebelum percutian ku yang seterusnya supaya aku dapat merakamkan momen percutian dan perjalananku dengan lebih terperinci.

Lihat sahaja beberapa contoh video yang aku sertakan di bawah. Aku harap aku juga dapat merakamkan setiap momen percutian atau penggembaraan seperti mereka.






Friday, 11 April 2014

Rapuh

Kali ini aku ingin berceritakan mengenai kerapuhan nyawa. Nyawa begitu rapuh kerana mati tidak mengenal usia, agama, tempat dan bangsa. Kisah yang akan aku kongsikan ini berlaku ketika aku bercuti ke Pulau Perhentian baru-baru ini dan ebih tepat lagi, kisah ini terjadi pada hari ketiga aku berada di sana. Setelah penat mendaki sehingga ke puncak bukit kincir angin, aku dan kawanku, Annur berehat sebentar menikmati keindahan lautan biru yang terbentang luas di hadapan kami ini di tepi batuan sambil melihat ombak menghempas batu tersebut.

Tidak berapa lama kemudian, Annur memberitahuku terdapat orang yang sedang berenang menuju ke arah kami. Aku segera melihat dan aku ternampak dari jauh kelibat seorang lelaki dan seorang wanita warga asing sedang berenang merentasi lautan menghampiri ke batu-batuan di tepi. Lelaki tersebut cuma mengenakan t-shirt, seluar renang dan goggles manakala wanita tersebut mempunyai tambahan pelampung yang diikat di belakang badannya. Mungkin supaya pelampung itu dapat menyelamatkan dia daripada lemas akibat kepenatan. Aku berasa sangat teruja dan risau kerana situ bukanlah kawasan yang sesuai untuk mandi tambahan pula arus ombak agak kencang.

Mula-mula lelaki tersebut cuba untuk berpaut pada batang besi di jeti itu tetapi tidak berjaya kerana ditarik oleh ombak. Tetapi, lelaki tersebut berhasil di cubaan yang kedua. Dia segera menarik teman wanitanya untuk naik ke atas jeti itu juga. Setelah mereka berhasil naik ke atas jeti, aku sempat bertanyakan daripada mereka mula berenang. Mereka memberitahuku yang mereka mula berenang daripada Long Beach, aku agak terkejut kerana Long Beach terletak di sebalik kawasan ini dan jaraknya juga agak jauh. Lelaki itu berkata mereka terpaksa berhenti kerana dia mengalami masalah dan ketika itu Annur menunjukkan kepada lelaki itu bahawa terdapat darah yang sedang mengalir daripada kakinya. Darah itu tidak banyak tetapi jelas kelihatan. Beliau mengatakan tiada apa-apa dan mereka berehat sebentar.

Apabila telah lihat mereka selamat dan sedang berehat di atas, kami sambung semula menikmati keindahan pemandangan dari pulau ini. Beberapa minit selepas itu, aku berkata kepadaku terdapat seekor ikan jerung sedang berlalu di hadapan kami. Aku segera memalingkan muka ke arah jerung itu dan benar sekali itu adalah ikan jerung. Aku tidak pasti samada kawasan tersebut adalah laluan ikan tersebut atau jerung itu berada di situ disebabkan terbau darah yang mengalir daripada kaki warga asing itu tadi.

Aku memberitahu kepada warga asing itu bahawa kami terlihat jerung berkeliaran selang beberapa minit selepas dia naik ke daratan kerana aku risau kalau-kalau dia hendak kembali semula berenang ke dalam laut itu tadi. Setelah mendengar khabar itu, lelaki tersebut tidak meneruskan niatnya untuk berenang dan balik ke kawasan yang ingin dituju melalui laluan jungle trekking.

Jika aku tidak memberitahu khabar itu, mungkin pasangan tersebut akan kembali semula rancangan asal mereka untuk berenang semula dan berhadapan kemungkinan untuk diserang oleh ikan jerung itu.

Jatuh

Tajuk entry kali ini adalah Jatuh dan di sini aku ingin kongsikan pengalamanku jatuh daripada menunggang motosikal. Kejadian malang ini berlaku kepada aku ketika aku berada di tingkatan 3, waktu itu aku berusia 15 tahun dan kawan-kawan aku ketika itu kebanyakkannya terdiri daripada rempit junior (normal lh tue bila tinggal di lubuk kelahiran rempit2 di KL nie...haaha..).

Pada suatu malam, aku keluar ke kedai bersama-sama kawan dan sesudah itu kami mengelilingi sekitar kawasan perumahan ku. Keadaan jalan pada malam itu agak licin disebabkan hujan pada siang hari. Kawanku yang membonceng bersama ku mencabar ku untuk cuba membawa dengan lebih laju memandangkan kami melalui jalan lurus ketika itu. Tanpa berfikir panjang aku terus memulaskan minyak dan motorsikal kepunyaan ayahku itu bergerak dengan pantas ke hadapan. Akibat leka menunggang, aku tidak menyedari bahawa aku semakin menghampiri kereta yang baru sahaja keluar daripada selekoh di hadapan ku. Dengan pantas aku menekan brek kecemasan dan aku tidak dapat mengawal motorsikal, lalu kami terjatuh dan terseret sedikit.

Setelah jatuh, aku kuatkan diri untuk berdiri dan aku kembali untuk mendapatkan motorsikal itu semula. Pada ketika itu, aku tidak merasa apa-apa kesakitan dan aku sangkakan aku cuma mengalami luka-luka kecil sahaja. Aku cuba menaikkan semula motorsikal yang terbaring di tengah jalan tetapi tidak berjaya. Lalu, aku menyuruh kawan ku itu untuk menaikkan motorsikal tersebut dan membawa aku pulang ke rumah. Kawanku tidak mengalami sebarang kecederaan, hanya beberapa luka calar sahaja kerana dia sempat untuk melompatkan diri sebelum motorsikal itu terseret.

Oleh kerana takut dimarahi oleh ayah, kami cepat-cepat menuju ke dalam bilikku untuk membersihkan luka. Setelah melihat luka-luka akibat daripada kemalangan tadi baru lah kesakitan itu terasa. Darah mengalir dengan pantas dan aku mengalami luka yang banyak. Setelah mendapat tahu aku kemalangan, jiran aku yang kepohci itu segera report kepada emak aku yang sedang bekerja shift malam ketika itu.

Emak aku memarahi aku dan membawa aku ke klinik untuk membersihkan luka-luka tersebut supaya tidak dijangkiti kuman. Ketika itu baru aku sedar bahawa aku tidak dapat menggunakan tangan kanan ku. Patutlah aku tidak dapat mengangkat motorsikal tersebut, rupanya bahu ku telah retak dan pihak klinik meminta ibu ku untuk membawa ku ke hospital bagi mendapatkan rawatan selanjutnya. Keesokkannya kami ke hospital dan tangan ku dibaluti dengan plaster. Dalam sebulan juga aku terpaksa memakai plaster tersebut. Apabila tiba masa untuk membuka plaster itu, tangan ku kaku dan tidak dapar bergerak. Doktor pesan untuk rajin membuat senaman tangan supaya tangan aku dapat kembali sembuh seperti biasa.

Sejak dari peristiwa itu, aku bersumpah untuk tidak menunggang motorsikal sehinggalah aku mempunyai lesen. Kini, aku dalam proses untuk mendapatkan Lesen P, aku masih lagi kekok membawa motorsikal kerana aku masih belum mahir bermain dengan brek dan gear. Itu sahaja yang dapat aku ceritakan untuk kali ini.

Sunday, 30 March 2014

move on

Senang ditutur tetapi sukar untuk dilaksanakan. Itu lah pandangan aku terhadap tajuk post pada minggu ini iaitu MOVE ON.

"Hidup mesti diteruskan, jangan dikenang benda yang lepas" adalah antara ayat-ayat klise yang seringkali dilontarkan tatkala menyakinkan diri untuk move on and keep going forward. Bukan mudah untuk melupakan sesuatu perkara, terutamanya perkara-perkara yang begitu peribadi dan dekat dengan diri kita.

Manusia bukan seperti mesin. Dengan semudah menekan butang reset, mesin akan kembali kepada keadaan asal. Jika manusia mampu berbuat sedemikian, pastinya hidup akan lebih mudah dan tiada lah perkara-perkara yang tidak menggembirakan kita akan berlaku. Tetapi, kehidupan tidak semudah itu dan sesukar mana pun kita rasa, life must goes on. Selagi kita bernafas selagi itu lah kita kena move on dan bergerak kehadapan. Jadikan perkara yang sudah berlalu itu sebagai satu semangat untuk kita bergerak dengan lebih baik di masa hadapan.

As i said previously, it was easy to say than to do...
But with a great willpower, you will be able to do it!!

P/s: if you can't move on your own, get someone to push you from behind so instead of moving backwards, you are moving forward.









Sunday, 23 March 2014

Rajuk

Aissssshhhhhhh......

Itu lah reaksi pertama apabila aku mendengar tema bagi post kali ketiga ini. Dalam banyak-banyak tema yang ada, mengapa mesti rajuk juga yang menjadi pilihan pensyarah ku ini. Apa-apa pun tugasan telah diberi jadi aku perlu menerimanya samada aku suka ataupun tidak.

Bagi aku, perbuatan merajuk ini merupakan salah satu lumrah kehidupan manusia untuk menunjukkan ketidakpuasan terhadap sesuatu. Perbuatan ini lebih terserlah dalam kalangan kanak-kanak, dan kebiasaanya kita boleh mengetahui seseorang itu merajuk melalui mimik muka dan gerak tubuhnya. Antara kebiasaan yang sering dilakukan apabila merajuk adalah berpeluk tubuh, menjauhkan diri, tiada 'eye contact' dengan orang lain, memuncungkan mulut dan macam-macam lagi. Namun begitu, bukan kanak-kanak sahaja yang pandai merajuk tetapi orang dewasa juga.


Melayan rajuk kanak-kanak adalah lebih mudah daripada melayani rajuk orang dewasa. Mengapa aku katakan begitu?, kerana kanak-kanak lebih mudah untuk dipujuk berbanding orang dewasa. Lebih rumit apabila yang merajuk itu adalah tergolong daripada kaum hawa, parah jadinya jika tidak kena pada gaya memujuk.

Monday, 17 March 2014

HILANG

Assalammualaikum dan selamat sejahtera kepada semua. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk membaca dan melawati blog aku yang masih serba kekurangan buat masa ini. Pada minggu lepas, aku ditugaskan oleh pensyarah ku untuk membuat blog post berdasarkan tema yang telah beliau tetapkan iaitu KEHILANGAN.

Kehilangan bukan lah sesuatu yang asing dalam menjalani kehidupan sebagai manusia, bahkan ia begitu sinonim dengan kita. Setiap daripada kita pasti pernah merasai atau mengalami detik kehilangan dalam hidup. Antara kehilangan yang sering kita alami tanpa kita sedari adalah kehilangan dari segi masa. Ia berlalu begitu pantas dan kehilangannya adalah kekal kerana kita tidak mampu untuk mengembalikan semula setiap saat yang telah berlalu.

"JIKA AKU MAMPU ULANGI SEMULA MASA YANG TELAH BERLALU, PASTI AKU AKAN MELAKUKAN SESUATU DENGAN LEBIH BAIK"

Seringkali, kata-kata ini diungkapkan oleh kita semua secara sedar ataupun tidak walaupun dalam olahan yang tersendiri tetapi  tetap dengan maksud yang serupa. Secara khususnya, aku sering ungkapkan kata-kata ini terutamanya apabila aku kesuntukan masa untuk mengerjakan sesuatu tugasan atau perkara. Walaupun kerap mengungkapkannya tetapi impak kekesalan atas kehilangan itu amat kecil kesannya dalam diriku. Rasa kesal itu hanya menebal saat aku kesuntukan masa dan semakin menipis saat aku siap mengerjakannya.





Saturday, 8 March 2014

Tentang Encik Fahdil dan UKM

Begitu sukar bagi aku untuk memulakan post pertama ini kerana aku tidak gemar untuk menceritakan perihal peribadi ku di alam maya. Oleh yang sedemikian, aku memutuskan untuk berkongsi pengalaman sepanjang minggu pertamaku berada di UKM.

Pada tanggal 1 September 2013, aku melangkah masuk ke kampus utama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, Selangor sebagai seorang pelajar jurusan ekonomi. Aku sangat bersyukur kerana masih diberi peluang untuk melanjutkan pengajian walaupun universiti ini bukanlah pilihan pertama ku. Pada hari pendaftaran pelajar baru, aku ditemani dua kawan karib yang sudi meluangkan masa mereka untuk menghantar ku (terima kasih banyak-banyak).



Aku ditempatkan di kolej kediaman Dato' Onn bersama beberapa pelajar tahun satu yang lain. Untuk pengetahuan anda, Kolej Dato' Onn (KDO) ini merupakan kolej yang pertama ditubuhkan di kampus UKM, Bangi dan merupakan antara kolej yang terkecil dari segi jumlah penduduknya. Seperti IPTA yang lain, minggu orientasi atau lebih dikenali sebagai Minggu Mesra Pelajar (MMP) di sini merupakan kebiasaan setiap tahun untuk menyambut kedatangan para pelajar baru. Sepanjang MMP ini, hari ku bermula seawal jam 5 pagi dan berakhir sekitar jam 12 tengah malam dek kerana mengikuti berbagai aktiviti dan ceramah wajib yang dirancang khusus oleh para pemudah cara (PC).

Pada malam terakhir MMP aku diberi peluang untuk menjadi pengacara majlis penutupan MMP. Majlis penutupan adalah untuk meraikan kedatangan pelajar baru ke KDO dan setiap pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan diminta untuk membuat persembahan mengikut tema yang telah ditetapkan. Mulanya, aku berasa gementar dan tidak yakin kerana ini merupakan pengalaman pertamaku untuk mengacarakan sesuatu majlis. Bukan mudah untuk mengacarakan majlis ini kerana terlalu banyak perkara yang berlaku sepanjang berlangsungnya majlis. Sebagai pengacara majlis, aku perlu fokus dan sentiasa berwaspada dengan segala perubahan yang berlaku dan menyesuaikan diri dengan cepat dan sentiasa bersikap tenang. Alhamdulillah, walaupun keadaan pada malam itu agak kelam kabut, aku berjaya melaksanakan tugas ku sebaik mungkin berkat dari sokongan dan dorongan kawan-kawan yang lain.

Itu sahaja yang dapat aku kongsikan untuk post yang pertama ini dan aku berharap untuk post seterusnya, penulisan dan penceritaan ku lebih baik dan menarik untuk dibaca oleh anda.

Sekian,
Terima kasih kerana sudi meluangkan masa anda.

ENCIK FAHDIL