Saturday 8 March 2014

Tentang Encik Fahdil dan UKM

Begitu sukar bagi aku untuk memulakan post pertama ini kerana aku tidak gemar untuk menceritakan perihal peribadi ku di alam maya. Oleh yang sedemikian, aku memutuskan untuk berkongsi pengalaman sepanjang minggu pertamaku berada di UKM.

Pada tanggal 1 September 2013, aku melangkah masuk ke kampus utama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, Selangor sebagai seorang pelajar jurusan ekonomi. Aku sangat bersyukur kerana masih diberi peluang untuk melanjutkan pengajian walaupun universiti ini bukanlah pilihan pertama ku. Pada hari pendaftaran pelajar baru, aku ditemani dua kawan karib yang sudi meluangkan masa mereka untuk menghantar ku (terima kasih banyak-banyak).



Aku ditempatkan di kolej kediaman Dato' Onn bersama beberapa pelajar tahun satu yang lain. Untuk pengetahuan anda, Kolej Dato' Onn (KDO) ini merupakan kolej yang pertama ditubuhkan di kampus UKM, Bangi dan merupakan antara kolej yang terkecil dari segi jumlah penduduknya. Seperti IPTA yang lain, minggu orientasi atau lebih dikenali sebagai Minggu Mesra Pelajar (MMP) di sini merupakan kebiasaan setiap tahun untuk menyambut kedatangan para pelajar baru. Sepanjang MMP ini, hari ku bermula seawal jam 5 pagi dan berakhir sekitar jam 12 tengah malam dek kerana mengikuti berbagai aktiviti dan ceramah wajib yang dirancang khusus oleh para pemudah cara (PC).

Pada malam terakhir MMP aku diberi peluang untuk menjadi pengacara majlis penutupan MMP. Majlis penutupan adalah untuk meraikan kedatangan pelajar baru ke KDO dan setiap pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan diminta untuk membuat persembahan mengikut tema yang telah ditetapkan. Mulanya, aku berasa gementar dan tidak yakin kerana ini merupakan pengalaman pertamaku untuk mengacarakan sesuatu majlis. Bukan mudah untuk mengacarakan majlis ini kerana terlalu banyak perkara yang berlaku sepanjang berlangsungnya majlis. Sebagai pengacara majlis, aku perlu fokus dan sentiasa berwaspada dengan segala perubahan yang berlaku dan menyesuaikan diri dengan cepat dan sentiasa bersikap tenang. Alhamdulillah, walaupun keadaan pada malam itu agak kelam kabut, aku berjaya melaksanakan tugas ku sebaik mungkin berkat dari sokongan dan dorongan kawan-kawan yang lain.

Itu sahaja yang dapat aku kongsikan untuk post yang pertama ini dan aku berharap untuk post seterusnya, penulisan dan penceritaan ku lebih baik dan menarik untuk dibaca oleh anda.

Sekian,
Terima kasih kerana sudi meluangkan masa anda.

ENCIK FAHDIL










No comments:

Post a Comment