Saturday 17 May 2014

Sendirian di Pulau Langkawi

17 September 2012, itu lah pertama kali aku memulakan langkahku untuk keluar daripada kota Kuala Lumpur yang sibuk dan bingit ini secara bersendirian untuk mencari ketenangan dan penggembaraan percutian di Pulau Langkawi.  Aku tidak merancang untuk pergi bersendirian akan tetapi pada saat akhir kawan-kawanku terpaksa menarik diri daripada mengikuti penggembaraan ini. Walaupun bergerak tanpa teman, bagi ku ini bukanlah satu masalah kerana aku sudah biasa bergerak sendirian akan tetapi tidak aku nafikan bahawa aku berasa gemetar dan was-was untuk meneruskan perjalanan ini. Akhirnya setelah puas memikirkannya, aku nekad jua untuk teruskan pengembaraan ini.


Pada jam 9 malam, aku bertolak daripada stesen KL Sentral ke stesen Arau, Perlis dengan menaiki keretapi Senandung Langkawi KTM. Tiket keretapi ini telah aku beli sehari sebelumnya dan aku memilih koc yang mempunyai katil supaya aku dapat merehatkan badan dan mengumpul tenaga untuk keesokan hari. Perjalanan daripada KL Sentral ini mengambil masa lebih kurang 10 hingga 12 jam. Setelah sampai di stesen Arau, Perlis, aku gegas mendapatkan teksi untuk membawaku ke jeti Kuala Perlis yang terletak sekitar 10 hingga 15 minit perjalanan sahaja daripada stesen keretapi tersebut.Sampai sahaja di jeti tersebut, aku terus ke kaunter tiket bagi membeli tiket untuk menaiki feri yang seterusnya.







Sampai sahaja di jeti Pulau Langkawi, aku terus ke kaunter khidmat pelanggan Tourism Malaysia yang terletak di pintu masuk utama jeti tersebut untuk mendapatkan maklumat tetapi hampa kerana kaunter tersebut tutup pada ketika itu. Sebenarnya, aku ke sini tanpa membuat apa-apa tempahan, tiada arah tuju yang jelas, hanya berbekalkan sedikit maklumat yang aku dapati daripada alam maya dan keinginan yang membara untuk menaiki kereta kabel dan membeli coklat. Untuk tidak membuang masa, aku mula menuju ke kaunter teksi berhampiran untuk mendapatkan teksi untuk ke Pantai Chenang.




Aku diperkenalkan dengan pakcik Ismail yang akan membawaku ke destinasi ku iaitu Pantai Chenang. Teksi-teksi di sini tidak menggunakan meter seperti di KL tetapi tambangnya telah ditetapkan oleh pihak berkuasa supaya tidak berlaku penipuan atau cubaan untuk meletakkan harga yang mahal kepada pelancong. Aku berasa bertuah dan bersyukur kerana dipertemukan dengan pakcik ini kerana beliau tidak lokek untuk berkongsi dan mencadangkan kepadaku motel serta aktiviti yang boleh aku lakukan sepanjang penginapan ku di sini. Setelah sampai di Pantai Chenang, pakcik Ismail membawa ku ke Amzar Motel. Kadar penginapan di sini sangat murah kerana dengan hanya RM35 sahaja untuk satu malam, aku dapat satu bilik yang lengkap dengan katil, kipas angin, bilik air serta tandas, almari pakaian dan juga televisyen.




Sekitar jam 2 petang setelah selesai check in dan membersihkan diri, aku menelefon pakcik Ismail untuk mengambil ku kerana aku ingin menaiki kereta kabel yang terletak di Gunung Mat Chincang. Perjalanan daripada Pantai Chenang ke Gunung Mat Chincang mengambil masa selama 15 minit ke 30 minit dan tambangnya pula adalah sekitar RM20 ke RM25 sehala. Sepanjang perjalanan menuju ke kereta kabel ini, aku dikelilingi dengan kawasan perkampungan, sawah padi, dan hutan yang menghijau. Setelah sampai di kereta kabel, pakcik Ismail sempat berpesan kepadaku untuk mengambil seberapa banyak masa yang aku mahu di situ dan aku boleh menelefon dia sekiranya aku ingin pulang ke motel.

Pemandangan di dalam kereta kabel sungguh cantik sekali terutama apabila kereta kabel itu semakin menghampiri puncak tertinggi. Daripada kereta kabel, aku dapat melihat air terjun telaga tujuh dan keindahan laut yang membiru dan bersinar-sinar dek sinaran cahaya matahari serta kehijauan hutan dan tumbuhan-tumbuhan yang begitu menenangkan. Udara di puncak kereta kabel ini cukup nyaman dan sejuk, keadaan cuaca di puncak ketika itu dalam keadaan berkabus jadi aku tidak dapat melihat dengan jelas tetapi menurut pakcik Ismail jika keadaan cuaca baik, kita boleh melihat jauh sehingga kepulauan Sumatera, Indonesia dan suasana ketika matahari terbenam juga cantik. Oleh kerana cuaca tidak begitu baik, aku tidak berada lama di situ dan selepas beberapa ketika aku turun ke bawah semula dan berjalan-jalan sebentar sebelum pulang semula ke Pantai Chenang. Setibanya di motel, aku segera menukar pakaian ku dan menghabiskan waktu petangku dengan berjalan di persisiran pantai sambil mencuci mata melihat gelagat warga tempatan dan asing bermandi-manda dan bermain. Pada sebelah malam pula, keluar untuk makan malam dan bersiar-siar menikmati suasana malam di kawasan sekitar.






Hari Kedua, aku mulakan hariku dengan bersarapan di kedai mamak sebelum menyewa basikal untuk satu hari. Berpandukan GPS yang terdapat pada telefon bimbitku, aku mula mengayuh dan mejelajah dari satu tempat ke tempat yang lain. Apabila kepenatan mengayuh, aku berhenti seketika dan mengambil gambar-gambar pemandangan yang menghijau untuk dijadikan kenang-kenangan dan tatapan masa hadapan. Sekitar jam 12 tengahari, aku pulang semula ke motel untuk bersiap sedia sebelum mengikuti trip Island Hopping pada jam 1 petang. Trip Island Hopping berharga RM25 seorang dan tour guide akan bawa ke 3 tempat iaitu Eagle Feeding Spot, Pulau Dayang Bunting dan Pulau Beras Basah. Ini juga merupakan pengalaman pertama aku menaiki bot laju dan mengikuti trip Island Hopping, tidak banyak yang aku lakukan sepanjang Island Hopping trip ini, kebanyakkannya masanya aku habiskan dengan melihat dan mengagumi keindahan alam. Jam 5 petang, trip ini berakhir dan aku habiskan petang ku sama seperti hari sebelumnya. Pada sebelah malamnya pula, aku bercadang untuk menaiki basikal untuk ke pekan Kuah kerana malam itu ada pasar malam tetapi oleh kerana keadaan jalan berliku dan gelap, aku memutuskan untuk tidak meneruskan cadangan tersebut bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Sebaliknya, aku kembali ke bilik dan melihat filem Hindustan Laila Majnun di televisyen.












Hari Ketiga pula tidak banyakk aktiviti yang aku lakukan. Aku hanya bersiar sebentar di persisiran pantai dan kemudiannya pulangkan basikal yang telah aku sewa semalam. Kemudian aku kembali semula ke bilik untuk berkemas pulang. Sekitar jam 11 pagi aku check out dan pakcik Ismail datang mengambilku di motel tersebut. Aku meminta pakcik Ismail untuk singgah sebentar di mana-mana supaya aku dapat membeli gamat dan coklat untuk dibawa pulang. Setelah selesai shopping, pakcik Ismail segera membawaku ke jeti kerana aku perlu menaiki feri jam 12.30 tengahari supaya aku dapat tiba di jeti Kuala Perlis jam 1.30 petang untuk menaiki bas yang akan bertolak pada jam 2 petang. Perjalanan pulang daripada Kuala Perlis ke KL menaiki bas ekspress mengambil masa selama lebih kurang 8 jam.







Sekian, tamatlah sudah penggembaraan aku sepanjang 3 hari 2 malam menghabiskan masa bersendirian meggembara ke Pulau Langkawi. Aku pasti akan kembali lagi ke pulau ini pada masa hadapan.

Terima kasih kerana sudi membaca.


No comments:

Post a Comment