Tuesday 6 May 2014

International Islamic College

International Islamic College atau lebih dikenali sebagai IIC ini merupakan tempat di mana aku melanjutkan pelajaran selepas tamat zaman persekolahan. Aku masih ingat lagi tarikh aku mendaftar di kolej ini iaitu pada tanggal 9 Disember. Kolej ini terletak tidak jauh daripada rumah ku dan ketika hari pendaftaran aku datang bersendirian dan tidak ditemani oleh sesiapa. Aku berasakan diriku begitu bodoh jika hendak dibandingkan dengan kawan-kawanku yang lain. Kawan-kawan yang sering aku belajar bersama ketika zaman persekolahan mendapat anugerah pelajar cemerlang dan berjaya melanjutkan pelajaran di IPTA manakala aku cuma dapat melanjutkan pelajaran di IPTS sahaja. 

Aku mendaftarkan diri untuk mengikuti program Diploma Perakaunan kerana minatku terhadap subjek prinsip perakaunan semasa zaman persekolahan dan disebabkan ingin mendalami ilmu perakaunan dengan lebih mendalam. DIA072031 merupakan no matrik ku di kolej ini dan seingatku cuma ada 16 orang pelajar sahaja yang mendaftar untuk program Diploma Perakaunan ini bagi sesi kemasukan 9 Disember ini. 

Oleh kerana jumlah pelajar bagi sesi ini tidak ramai, kami saling mengenali antara satu sama yang lain dan banyak menghabiskan masa bersama sepanjang tempoh pengajian di sini. Kebanyakkan daripada kawan-kawanku ini menetap di asrama yang disediakan oleh kolej yang terletak agak jauh daripada kolej kami ini manakala aku pula memilih untuk berulang alik daripada rumah sahaja. Mula-mula, aku berulang alik dengan menaiki bus RapidKL tetapi apabila lama - kelamaan aku mula biasa berjalan kaki mengharungi lebuhraya dibelakang rumahku untuk ke kolej ini.

IIC ini tidak besar dan gah seperti kolej-kolej atau IPTA yang lain. Kolej ini hanya mempunyai 2 blok bangunan dan disambung dengan 1 blok pentadbiran dan hanya mempunyai 3 tingkat sahaja. Aku banyak habiskan masa di kafetaria dan perpustakaan sementara menunggu untuk ke kelas yang seterusnya. Kadang-kadang apabila sudah bosan melepak di perpustakaan, aku dan kawan-kawanku akan berlegar-legar mencari bilik kuliah yang kosong untuk lepak sementara menunggu kelas untuk bermula.

Di IIC, aku mula berasa seronok untuk belajar dan tidak tekanan untuk belajar. Pensyarah-pensyarah aku tidak terdiri daripada mereka yang berkelayakan PHD dan mempunyai gelaran Dr atau Prof seperti pensyarah-pensyarah di IPTA. Pensyarah ku hanya berkelayakan fresh graduates Degree daripada IPTA sahaja tetapi mereka begitu bersungguh dalam memberikan ilmu dan mengajar kami. Hubungan antara kami dan pensyarah begitu rapat dan aku anggap mereka seperti kakak, abang dan emak kami. Ilmu yang disampaikan juga mudah untuk diserap dan difahami. Kami mengenali setiap pensyarah dan pensyarah juga mengenali setiap pelajarnya. 

Alhamdulillah, di sini aku dikelilingi oleh kawan-kawan yang tidak lokek untuk berkongsi ilmu dan saling membantu antara satu sama yang lain. Jika ada perkara yang tidak mereka fahami, aku akan cuba untuk terangkan dan sebaliknya jika aku tidak memahami sesuatu, mereka pula yang akan menjelaskannya kepada ku. Aku suka cara belajar yang sebegini, kerana melalui study group sebegini aku dapat menambah pengetahuan yang aku tidak akan dapat sekiranya belajar sendirian. Rakan study group aku ini tidaklah skema dan hanya membincangkan perihal akademik sahaja tetapi kami juga sering bergosip, berborak dan seringkali membahan satu sama yang lain juga.

2 tahun 6 bulan berlalu dengan pantas dan tiba masanya untuk kami berpisah. Kini, aku di UKM dan persekitaran di sini sangat berbeza dengan zaman diploma ku.UKM, puluhan kali ganda lebih besar daripada IIC. Pensyarah-pensyarahnya terdiri daripada ahli-ahli akademik yang berkelulusan tinggi seperti Master dan PHD. Namanya gah dan dipandang tinggi oleh masyarakat. Kebanyakkan pelajarnya pula terdiri daripada mereka yang berkelulusan daripada matrikulasi. Mula-mula aku berasa bangga kerana akhirnya aku berjaya menjejakkan kaki di "MENARA GADING" tetapi kini aku tidak lagi berasa begitu.

p/s: tiada guna pandai jika tidak pandai berkongsi ilmu.


1 comment:

  1. Abang ambil diploma apa dan sambung ijazah apa di UKM?

    ReplyDelete