Friday 11 April 2014

Rapuh

Kali ini aku ingin berceritakan mengenai kerapuhan nyawa. Nyawa begitu rapuh kerana mati tidak mengenal usia, agama, tempat dan bangsa. Kisah yang akan aku kongsikan ini berlaku ketika aku bercuti ke Pulau Perhentian baru-baru ini dan ebih tepat lagi, kisah ini terjadi pada hari ketiga aku berada di sana. Setelah penat mendaki sehingga ke puncak bukit kincir angin, aku dan kawanku, Annur berehat sebentar menikmati keindahan lautan biru yang terbentang luas di hadapan kami ini di tepi batuan sambil melihat ombak menghempas batu tersebut.

Tidak berapa lama kemudian, Annur memberitahuku terdapat orang yang sedang berenang menuju ke arah kami. Aku segera melihat dan aku ternampak dari jauh kelibat seorang lelaki dan seorang wanita warga asing sedang berenang merentasi lautan menghampiri ke batu-batuan di tepi. Lelaki tersebut cuma mengenakan t-shirt, seluar renang dan goggles manakala wanita tersebut mempunyai tambahan pelampung yang diikat di belakang badannya. Mungkin supaya pelampung itu dapat menyelamatkan dia daripada lemas akibat kepenatan. Aku berasa sangat teruja dan risau kerana situ bukanlah kawasan yang sesuai untuk mandi tambahan pula arus ombak agak kencang.

Mula-mula lelaki tersebut cuba untuk berpaut pada batang besi di jeti itu tetapi tidak berjaya kerana ditarik oleh ombak. Tetapi, lelaki tersebut berhasil di cubaan yang kedua. Dia segera menarik teman wanitanya untuk naik ke atas jeti itu juga. Setelah mereka berhasil naik ke atas jeti, aku sempat bertanyakan daripada mereka mula berenang. Mereka memberitahuku yang mereka mula berenang daripada Long Beach, aku agak terkejut kerana Long Beach terletak di sebalik kawasan ini dan jaraknya juga agak jauh. Lelaki itu berkata mereka terpaksa berhenti kerana dia mengalami masalah dan ketika itu Annur menunjukkan kepada lelaki itu bahawa terdapat darah yang sedang mengalir daripada kakinya. Darah itu tidak banyak tetapi jelas kelihatan. Beliau mengatakan tiada apa-apa dan mereka berehat sebentar.

Apabila telah lihat mereka selamat dan sedang berehat di atas, kami sambung semula menikmati keindahan pemandangan dari pulau ini. Beberapa minit selepas itu, aku berkata kepadaku terdapat seekor ikan jerung sedang berlalu di hadapan kami. Aku segera memalingkan muka ke arah jerung itu dan benar sekali itu adalah ikan jerung. Aku tidak pasti samada kawasan tersebut adalah laluan ikan tersebut atau jerung itu berada di situ disebabkan terbau darah yang mengalir daripada kaki warga asing itu tadi.

Aku memberitahu kepada warga asing itu bahawa kami terlihat jerung berkeliaran selang beberapa minit selepas dia naik ke daratan kerana aku risau kalau-kalau dia hendak kembali semula berenang ke dalam laut itu tadi. Setelah mendengar khabar itu, lelaki tersebut tidak meneruskan niatnya untuk berenang dan balik ke kawasan yang ingin dituju melalui laluan jungle trekking.

Jika aku tidak memberitahu khabar itu, mungkin pasangan tersebut akan kembali semula rancangan asal mereka untuk berenang semula dan berhadapan kemungkinan untuk diserang oleh ikan jerung itu.

No comments:

Post a Comment