Friday 11 April 2014

Jatuh

Tajuk entry kali ini adalah Jatuh dan di sini aku ingin kongsikan pengalamanku jatuh daripada menunggang motosikal. Kejadian malang ini berlaku kepada aku ketika aku berada di tingkatan 3, waktu itu aku berusia 15 tahun dan kawan-kawan aku ketika itu kebanyakkannya terdiri daripada rempit junior (normal lh tue bila tinggal di lubuk kelahiran rempit2 di KL nie...haaha..).

Pada suatu malam, aku keluar ke kedai bersama-sama kawan dan sesudah itu kami mengelilingi sekitar kawasan perumahan ku. Keadaan jalan pada malam itu agak licin disebabkan hujan pada siang hari. Kawanku yang membonceng bersama ku mencabar ku untuk cuba membawa dengan lebih laju memandangkan kami melalui jalan lurus ketika itu. Tanpa berfikir panjang aku terus memulaskan minyak dan motorsikal kepunyaan ayahku itu bergerak dengan pantas ke hadapan. Akibat leka menunggang, aku tidak menyedari bahawa aku semakin menghampiri kereta yang baru sahaja keluar daripada selekoh di hadapan ku. Dengan pantas aku menekan brek kecemasan dan aku tidak dapat mengawal motorsikal, lalu kami terjatuh dan terseret sedikit.

Setelah jatuh, aku kuatkan diri untuk berdiri dan aku kembali untuk mendapatkan motorsikal itu semula. Pada ketika itu, aku tidak merasa apa-apa kesakitan dan aku sangkakan aku cuma mengalami luka-luka kecil sahaja. Aku cuba menaikkan semula motorsikal yang terbaring di tengah jalan tetapi tidak berjaya. Lalu, aku menyuruh kawan ku itu untuk menaikkan motorsikal tersebut dan membawa aku pulang ke rumah. Kawanku tidak mengalami sebarang kecederaan, hanya beberapa luka calar sahaja kerana dia sempat untuk melompatkan diri sebelum motorsikal itu terseret.

Oleh kerana takut dimarahi oleh ayah, kami cepat-cepat menuju ke dalam bilikku untuk membersihkan luka. Setelah melihat luka-luka akibat daripada kemalangan tadi baru lah kesakitan itu terasa. Darah mengalir dengan pantas dan aku mengalami luka yang banyak. Setelah mendapat tahu aku kemalangan, jiran aku yang kepohci itu segera report kepada emak aku yang sedang bekerja shift malam ketika itu.

Emak aku memarahi aku dan membawa aku ke klinik untuk membersihkan luka-luka tersebut supaya tidak dijangkiti kuman. Ketika itu baru aku sedar bahawa aku tidak dapat menggunakan tangan kanan ku. Patutlah aku tidak dapat mengangkat motorsikal tersebut, rupanya bahu ku telah retak dan pihak klinik meminta ibu ku untuk membawa ku ke hospital bagi mendapatkan rawatan selanjutnya. Keesokkannya kami ke hospital dan tangan ku dibaluti dengan plaster. Dalam sebulan juga aku terpaksa memakai plaster tersebut. Apabila tiba masa untuk membuka plaster itu, tangan ku kaku dan tidak dapar bergerak. Doktor pesan untuk rajin membuat senaman tangan supaya tangan aku dapat kembali sembuh seperti biasa.

Sejak dari peristiwa itu, aku bersumpah untuk tidak menunggang motorsikal sehinggalah aku mempunyai lesen. Kini, aku dalam proses untuk mendapatkan Lesen P, aku masih lagi kekok membawa motorsikal kerana aku masih belum mahir bermain dengan brek dan gear. Itu sahaja yang dapat aku ceritakan untuk kali ini.

No comments:

Post a Comment